Skip to main content

Malaysia

Jenayah kewangan: AI perkukuh pertimbangan manusia, bukan menggantikannya - Pakar

Keupayaan industri untuk memanfaatkan AI secara efektif turut dibatasi oleh kekurangan kemahiran khusus. - Gambar hiasan/Reuters
Keupayaan industri untuk memanfaatkan AI secara efektif turut dibatasi oleh kekurangan kemahiran khusus. - Gambar hiasan/Reuters

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kecerdasan buatan (AI) seharusnya digunakan untuk memperkukuh pertimbangan manusia dan bukan menggantikannya dalam usaha memerangi jenayah kewangan yang semakin canggih, selain keperluan institusi kewangan untuk merapatkan jurang kemahiran kritikal berkaitan AI, menurut beberapa pakar.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Asian Institute of Chartered Bankers (AICB), Edward Ling berkata, menurut laporan AICB bertajuk AI in Practice, penggunaan AI semakin meluas dalam bidang seperti pengesanan penipuan, know-your-customer (KYC), pencegahan pengubahan wang haram (AML) dan pembanterasan pembiayaan keganasan (CFT), namun tahap keyakinan manusia terhadap hasil yang dijana AI untuk membuat keputusan penting masih terhad.

Beliau berkata, hanya 25 peratus responden dalam kajian AICB menyatakan mereka cukup mempercayai hasil yang dijana AI untuk bertindak berdasarkan hasil tersebut, khususnya dalam membuat keputusan perniagaan utama.

“AI sangat baik dalam memproses data dalam jumlah besar, mengenal pasti corak dan mengesan anomali yang mungkin terlepas daripada perhatian manusia. Namun, mengenal pasti sesuatu corak dan memahami maksud corak tersebut ialah dua perkara yang berbeza.

“AI seharusnya memperkukuh pertimbangan manusia, bukan menggantikannya. Mesin boleh menunjukkan kepada kita perkara yang perlu diberi perhatian. Pada akhirnya, profesional yang terlatih dengan baik seharusnya mampu mencabar hasil yang dijana, memahami konteks dan bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat,” katanya.

Edward berkata demikian pada sesi meja bulat media anjuran AICB bersempena dengan Persidangan Antarabangsa mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) ke-16 2026 di sini,  bertemakan “The New Face of Financial Crime: AI, Intelligence and the Race for Trust.” 

Beliau berkata, keupayaan industri untuk memanfaatkan AI secara efektif turut dibatasi oleh kekurangan kemahiran khusus, dengan 79 peratus responden dalam kajian AICB melaporkan terdapat jurang dalam kemahiran teknikal AI khusus.

Edward berkata, penyelesaian dalam perkara ini bukan dengan menjadikan setiap profesional perbankan sebagai pakar AI atau sains data, sebaliknya melengkapkan mereka dengan keupayaan untuk memahami, mempersoalkan dan menggunakan teknologi itu secara bertanggungjawab.

“Bagi kebanyakan profesional perbankan, kita memerlukan literasi AI dan data yang mencukupi untuk memahami perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh teknologi, pertimbangan profesional untuk mencabar hasil yang dijana AI, serta pemahaman yang baik mengenai isu tadbir urus seperti etika, privasi, kebolehjelasan, bias dan akauntabiliti,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Industri Pematuhan dan Jenayah Kewangan Asia Pasifik (APAC) SymphonyAI Singapura, Martin Smith berkata, institusi kewangan perlu beralih daripada pendekatan reaktif, iaitu bertindak hanya selepas sesuatu kejadian berlaku kepada model proaktif berteraskan risikan bagi membolehkan tindakan awal dilakukan.

Beliau berkata, aktiviti transaksi, proses penerimaan pelanggan baharu, berita negatif serta maklumat lain yang dimiliki bank perlu dianalisis secara menyeluruh bagi mengenal pasti corak yang boleh menunjukkan jenayah kewangan sebelum kerugian berlaku.

Martin berkata, perkara itu memerlukan organisasi yang terlibat dalam menangani jenayah kewangan mengubah bukan sahaja teknologi mereka, tetapi juga aspek sumber manusia dan proses kerja, di samping membangunkan pasukan pelbagai disiplin yang mampu menilai risiko dengan lebih pantas.

Beliau berkata, penjenayah tidak terikat dengan halangan birokrasi dan bidang kuasa yang dihadapi institusi kewangan, sekali gus menekankan keperluan ASEAN dan organisasi penetapan piawaian antarabangsa membangunkan mekanisme untuk perkongsian maklumat berkaitan risiko rentas sempadan yang lebih berkesan.

Sementara itu, pengasas Prevent Crime Now dan pakar pencegahan jenayah, Dr Shamir Rajadurai berkata, institusi perlu memahami cara penjenayah berfikir dan bukannya hanya memberi tumpuan kepada taktik penipuan terkini.

Beliau berkata, pasukan pematuhan perlu meletakkan diri dalam perspektif pihak yang cuba mengatasi kawalan, sekali gus membolehkan institusi mengenal pasti kelemahan dan mengambil tindakan sebelum jenayah berlaku.

Shamir berkata individu tidak seharusnya diharapkan untuk memerangi penipuan yang semakin canggih secara bersendirian, memandangkan penjenayah semakin mahir mengeksploitasi psikologi manusia dan menggunakan teknologi untuk memperkukuh kaedah mereka.

Dalam pada itu, Presiden Transparency International Malaysia dan Managing Principal Graymatter Forensic Advisory Sdn Bhd, Dr Raymon Ram berkata, AI seharusnya digunakan terutamanya untuk mengenal pasti tanda amaran dan menghubungkan maklumat, bukannya membuat keputusan bagi pihak institusi.

Beliau berkata, setiap keputusan yang melibatkan AI haruslah boleh dipertanggungjawabkan kepada individu tertentu, manakala proses dan model yang digunakan untuk mencapai keputusan tersebut mestilah cukup telus dan boleh diaudit bagi menjamin akauntabiliti.

Pengasas dan CEO Confide Platform, Pav Gill pula berkata, prinsip akauntabiliti turut terpakai dalam sistem pemberi maklumat yang seharusnya dilihat sebagai mekanisme amaran awal dan bukannya sekadar tindak balas selepas jenayah kewangan berlaku.

Pav berkata, pekerja hanya akan mempercayai saluran pemberi maklumat jika mereka melihat bukti bahawa tindakan susulan diambil terhadap maklumat yang didedahkan, selain mereka yang menyuarakan kebimbangan yang wajar dilindungi daripada tindakan balas.

Beliau berkata, AI turut mewujudkan dimensi baharu dalam usaha memerangi jenayah kewangan apabila penjenayah dan institusi banyak menggunakan teknologi itu untuk berdepan antara satu sama lain, sekali gus memerlukan organisasi mempertimbangkan bagaimana sistem automatik itu sendiri boleh ditadbir dan dipantau.

Pakar bersetuju bahawa usaha memerangi jenayah kewangan tidak boleh diserahkan kepada teknologi, pengawal selia, agensi penguat kuasa atau orang awam semata-mata, sebaliknya memerlukan keupayaan sumber manusia yang lebih kukuh, penggunaan AI secara bertanggungjawab, akauntabiliti institusi serta perkongsian maklumat yang berkesan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement