Skip to main content

Dunia

EU lancar dialog dengan syarikat penapisan minyak bagi pastikan bekalan mencukupi - Von Der Leyen

Ursula von der Leyen, berkata EU masih berhasrat menghentikan pembelian gas asli dari Rusia menjelang akhir tahun depan. - Gambar fail
Ursula von der Leyen, berkata EU masih berhasrat menghentikan pembelian gas asli dari Rusia menjelang akhir tahun depan. - Gambar fail

Advertisement

MOSCOW: Suruhanjaya Eropah akan melancarkan dialog strategik dengan syarikat penapisan minyak Eropah bagi mengurangkan kos dan memastikan bekalan kepada Kesatuan Eropah (EU) mencukupi, khususnya bagi sektor pertahanan, kata Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen pada Selasa, lapor Sputnik/RIA Novosti.

“Matlamatnya adalah untuk mengurangkan kos dan memastikan kita mempunyai bekalan yang diperlukan, termasuk untuk pertahanan,” kata von der Leyen.

Dialog strategik itu akan dipengerusikan oleh Pesuruhjaya EU Dan Jorgensen dan Andrius Kubilius, katanya.

Selain itu, von der Leyen berkata, Suruhanjaya Eropah akan memberi pengeksport tempoh tambahan setahun untuk memenuhi keperluan baharu EU berkaitan pelepasan metana bagi import minyak, gas dan arang batu, susulan ketegangan yang semakin meningkat dalam pasaran tenaga global.

“Kami akan memberikan fleksibiliti kepada pengeksport untuk tempoh setahun lagi berhubung metana. Ini menjimatkan kos tambahan ketika berlaku krisis,” katanya.

Presiden Suruhanjaya Eropah itu turut berkata, EU masih berhasrat menghentikan pembelian gas asli dari Rusia menjelang akhir tahun depan.

“Hari ini, import gas Rusia menurun daripada 45 peratus kepada 12 peratus. Dan kita akan mengurangkannya kepada sifar menjelang akhir tahun depan,” kata von der Leyen.

Beliau berkata, lebih 70 peratus tenaga di EU dihasilkan daripada sumber bersih sendiri, iaitu tenaga boleh diperbaharui dan tenaga nuklear.

EU juga merancang mengubah keadaan dari segi permintaan tenaga dengan menubuhkan kumpulan kerja bagi perolehan bersama melalui pengendali pasaran bersama.

“Kami mahu beralih daripada sekadar mempertemukan permintaan kepada menggabungkan permintaan dan memberi tugas kepada pengendali pasaran untuk menjalankan perolehan bersama bagi pihak kita semua,” kata von der Leyen, sambil menjelaskan bahawa EU pernah menggunakan mekanisme itu sebelum ini susulan pengurangan bekalan gas dari Rusia.

EU mengenakan keperluan pelepasan metana terhadap import minyak, gas asli dan arang batu dari negara ketiga ke EU. 

Mulai 1 Jan 2027, pengimport perlu mengesahkan bahawa bekalan mereka memenuhi keperluan berkaitan pemantauan, perakaunan dan pemeriksaan pelepasan metana. 

Ketika ini, syarat berkenaan sedang diselaraskan.

Pada masa sama, EU merancang mengenakan larangan sepenuhnya terhadap bekalan gas asli cecair (LNG) Rusia mulai 1 Jan 2027, selain menghentikan import gas Rusia melalui saluran paip menjelang musim luruh 2027.

Pada April 2026, Slovakia memfailkan saman di Mahkamah EU berhubung larangan import gas Rusia itu.

 -- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

Must Watch Video

Advertisement