Skip to main content

Dunia

IOC: 7 negara bida jadi tuan rumah Olimpik 2036

IOC dalam kenyataan memaklumkan Jerman, Hungary, India, Qatar, Afrika Selatan, Korea Selatan dan Turkiye menyatakan minat sebelum tarikh tutup pada 31 Okt. - Gambar fail
IOC dalam kenyataan memaklumkan Jerman, Hungary, India, Qatar, Afrika Selatan, Korea Selatan dan Turkiye menyatakan minat sebelum tarikh tutup pada 31 Okt. - Gambar fail

Advertisement

BERLIN: Tujuh negara berminat untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2036, menurut Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

IOC dalam kenyataan memaklumkan, Jerman, Hungary, India, Qatar, Afrika Selatan, Korea Selatan dan Turkiye menyatakan minat sebelum tarikh tutup pada 31 Okt.

Jerman dan Korea Selatan merupakan dua daripada tujuh negara berkenaan yang pernah menjadi tuan rumah Sukan Olimpik.

Menurut IOC, ketujuh-tujuh negara itu akan membuat pembentangan kepada Suruhanjaya Tuan Rumah Masa Depan IOC pada November sebagai sebahagian daripada dialog berterusan.

Proses itu akan disusuli dialog strategik dengan calon yang melibatkan Lembaga Eksekutif IOC, dipengerusikan Presiden Kirsty Coventry, mulai Mac 2027.

Beberapa calon tuan rumah pilihan akan dipilih untuk menyertai dialog bersasar oleh IOC pada November 2028, manakala tuan rumah Olimpik 2036 akan dipilih oleh semua anggota IOC pada sesinya pada 2029.

"Di mana sahaja temasya itu berlangsung, satu perkara tidak boleh berubah: atlet perlu menjadi teras kepada segala yang kita lakukan," kata Coventry, pemenang pingat emas renang Olimpik.

"Sebagai atlet, anda menghabiskan masa bertahun-tahun berusaha untuk merealisasikan impian Olimpik. Pengalaman yang dilalui apabila akhirnya berjaya menyertai Sukan Olimpik akan kekal bersama anda sepanjang hayat.

"Justeru, bagi setiap bakal tuan rumah, menyediakan pengalaman terbaik kepada atlet perlu sentiasa menjadi titik permulaan," katanya.

Qatar sejak sekian lama dianggap sebagai calon kuat dan pernah menganjurkan kejohanan dunia bagi beberapa sukan utama Olimpik, namun konflik di Iran menunjukkan negara itu mungkin menjadi pilihan yang berisiko.

India turut disebut-sebut sebagai bakal tuan rumah, namun terdapat kebimbangan mengenai aspek kewangan dan pelaksanaan bidaannya yang tertumpu di bandar Ahmedabad.

Istanbul pula beberapa kali gagal dalam percubaan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik bagi Turkiye, manakala Hungary turut menunjukkan minat sejak beberapa tahun dengan Budapest dicadangkan sebagai bandar tuan rumah.

Sukan Olimpik tidak pernah diadakan di Afrika.

Jerman mengemukakan Munich, yang pernah menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 1972. Munich akan meneruskan bidaan bagi edisi 2040 atau 2044 sekiranya Jerman gagal memperoleh hak penganjuran temasya 2036.

-- BERNAMA-dpa

 

Must Watch Video

Advertisement