KUALA LUMPUR: Jenazah wartawan hiburan Allahyarham Siti Nor Hafizah Kamarudin yang meninggal dunia di Hospital Charing Cross di London, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, di sini, tengah hari ini.

Kira-kira 200 orang termasuk ahli keluarga dan rakan-rakan Allahyarham Siti Nor Hafizah atau lebih dikenali sebagai Fiza Kamarudin, hadir memberi penghormatan terakhir.

Jenazahnya dikebumikan pada jam 12.50 tengah hari dalam suasana penuh pilu dengan ramai ahli keluarga dan rakan-rakan kelihatan menahan sebak dan berpelukan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dijadualkan menyantuni keluarga Allahyarham sekitar pukul 3 petang ini di kediaman keluarganya di Ampang, Selangor.

Solat jenazah dilakukan di Masjid Kampung Baru. - Gambar/ Astro/ Azrul Rafie

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur  (KLIA) pada pukul 6.47 pagi sebelum dibawa ke Masjid Kampung Baru untuk solat jenazah.

Allahyarham yang berusia 40 tahun, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Charing Cross, pada jam 3 petang waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia) akibat pendarahan otak pada 28 Disember lepas.

Beliau menerima rawatan di hospital itu selepas dilapor tidak sedarkan diri ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow pada 27 Disember lepas untuk pulang ke Malaysia selepas bercuti bersama keluarganya.

Sekitar pengebumian Allahyarham Fiza Kamarudin di Tanah Perkuburan Raudathul Sakinah, Taman Selasih, hari ini. - Gambar/ Astro/ Azrul Rafie

Allahyarham yang merupakan bekas pesakit kanser payudara sebelum ini turut aktif dalam kempen kesedaran kanser dan kerap tampil memberi semangat kepada pesakit untuk terus berjuang meneruskan hidup.

Walaupun disahkan bebas kanser enam tahun lalu, sel barah berkenaan dikatakan kembali aktif.