SEGAMAT: Jenazah kanak-kanak lelaki yang dipercayai menjadi mangsa dera di Senggarang, Batu Pahat selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Sungai Gatom di sini hari ini pada kira-kira 5.30 petang.

Terdahulu, jasad kanak-kanak malang itu dibawa ke Masjid Jamek Labis dengan van yang diiringi kenderaan polis dan ahli keluarga pada 4.30 petang untuk solat jenazah.

Kira-kira 100 orang hadir termasuk datuk saudara mangsa, Ruslan Ahmad, 47, ahli keluarga serta Ketua Polis Batu Pahat ACP Ismail Dollah dan Ketua Polis Segamat Superintenden Ahmad Zamry Marin Shah.

Sebelum itu, jenazah dibawa dari Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru pada kira-kira 3 petang setelah melalui proses bedah siasat.

Mangsa dimasukkan ke HSI sejak 23 Dis setelah dilaporkan pengsan di rumah rakan kakak kandungnya di Senggarang sebelum meninggal dunia Isnin lepas.

Jenayah | Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia dipercayai didera

Kanak-kanak itu dijaga oleh kakaknya selepas ibu bapa mereka dihukum penjara kerana kesalahan dadah sebelum diserahkan kepada rakan kakaknya (pengadu) untuk dijaga.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat sebelum ini mengesahkan terdapat kecederaan baharu dan lama di seluruh badan mangsa.

Antara kecederaan yang dapat dilihat ialah kesan dicucuh api atau benda panas termasuk di kemaluan dan gigitan di telinga.

Sehingga kini, lima individu berusia lingkungan 15 hingga 37 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan termasuk kakak mangsa yang berusia 19 tahun dan suaminya, 37.

Mereka ditahan reman selama tujuh hari dan kes itu, yang sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, telah diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA