[TERKINI] Najib Razak Dilepas Tanpa Bebas dalam Kes SRC RM27 Juta – Ikuti Perkembangan di Sini
NATIONAL

Jenazah Muhammad Adib dijangka diterbangkan 7.30 pagi ke Kedah

Astro Awani 17/12/2018 | 21:58 MYT
Jenazah Muhammad Adib dibawa keluar dari Hospital Kuala Lumpur untuk dibawa ke Lapangan Terbang Subang pagi ini, 18 Dis, 2018. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Jenazah Muhammmad Adib Mohd Kassim dijangka diterbangkan ke kampung halamannya di Kedah pada kira-kira jam 7.30 pagi ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Hassan As'ari Omar berkata, bedah siasat di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL) dijangka selesai pada kira-kira jam 6 pagi.
Menurutnya, jenazah akan dimandi, dikafan dan disolatkan di IPFN.
Sejurus selepas itu, katanya, jenazah Allahyarham akan dibawa ke kemudahan Airod di Lapangan Terbang Subang untuk dibawa pulang ke Kedah.
"Jenazah Muhammad Adib akan diterbangkan menggunakan helikopter dari lapangan terbang berkenaan dijangka pada 7.30 pagi nanti untuk dikebumikan di kampung halamannya," katanya kepada pemberita di luar perkarangan IPFN.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Muhammad Adib meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada pukul 9.41 malam tadi.
Hassan berkata apabila jenazah Muhammad Adib tiba di Kedah, akan berlangsung istiadat pengebumian kebombaan sebagai penghormatan terakhir buat Allahyarham.
Anggota bomba mengadakan tahlil. Astro AWANI/NISA KASNOON
Sementara itu, sambil menunggu urusan bedah siasat dan mandi serta kafan selesai, anggota bomba dan penyelamat yang berada di HKL mengadakan tahlil buat Allahyarham.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Turut kelihatan hadir di HKL ialah tunang arwah, Nurul Najihah Mohd Radzi, 25 tahun. Mengikut perancangan asal, mereka akan mengadakan majlis perkahwinan pada Sabtu, 22 Disember ini.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Dalam kejadian awal pagi 27 Nov lalu, Muhammad Adib, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, cedera parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.
Allahyarham ketika itu menyertai operasi memadam kebakaran di hadapan kuil berkenaan.
Susulan kematian anggota bomba berusia 24 tahun itu, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata kes itu kini diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.
#bomba #helikopter #jenazah #kampung halaman #meninggal dunia #Muhammmad Adib Mohd Kassim