KUALA LUMPUR : Jenazah tokoh korporat ternama, Allahyarham Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini, kira-kira pukul 3 petang.

Van membawa jenazah tiba di tanah perkuburan berkenaan pada kira-kira pukul 2.30 petang selepas selesai disembahyangkan di kediaman Allahyarham di Damansara Perdana, di sini, yang disertai lebih 200 jemaah.

Lebih memilukan, van jenazah yang ‘mengiringi’ perjalanan terakhir  pengasas syarikat hartanah, MK Land itu merupakan sumbangan Allahyarham kepada kariah pada tahun 2019.

Suasana sedih menyelubungi majlis pengebumian dan sebaik selesai talkin dibacakan, rata-rata yang hadir kelihatan sebak ketika menyiramkan air di atas pusara Allahyarham.



Allahyarham meninggal dunia di Institusi Jantung Negara (IJN) kira-kira pukul 7.45 pagi, Isnin akibat sakit tua.

Allahyarham yang berusia 73 tahun, dimasukkan ke IJN tiga hari lalu selepas mengadu sakit dada.

Beliau meninggalkan isteri Puan Seri Wan Nong Wan Ibrahim, tiga anak perempuan Felina, Datuk Fazwirnna dan Farah Mahami serta seorang anak lelaki Ahmad Khalif dengan 15 cucu.

Terdahulu, antara yang hadir memberi penghormatan terakhir adalah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; isteri bekas perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali;  Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.