Jenazah Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 50, pendaki Malaysia yang ditemui maut di Gunung Damavand, Iran, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bandar Tun Hussein Onn, Cheras pukul 3.40 petang tadi.

Pesawat yang membawa jenazah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10.30 pagi tadi selepas berlepas dari Tehran pukul 10 malam semalam.

Jenazah yang telah dimandikan dan dikafankan di Tehran kemudian dibawa pulang ke Cheras oleh ahli keluarga selepas selesai urusan di lapangan terbang pukul 12.45 tengahari.

Setibanya di Masjid Bandar Tun Hussein Onn pukul 3 petang, jenazah terus disembahyangkan oleh kira-kira 200 jemaah yang dipimpin anak ketiga allahyarham, Syed Syaqir Shatri.


Anak sulung allahyarham, Syed Shafwan Redhauddin Shatri mengucapkan setinggi penghargaan kepada semua pihak khususnya kerajaan Iran, kedutaan Malaysia di Iran serta pasukan pencarian yang berusaha membawa pulang allahyarham ke tanah air.

Katanya, allahyarham akan sentiasa dikenang sebagai seorang ayah yang penyayang dan sentiasa berpesan kepada anak-anaknya.

"Dia pesan jangan tinggal solat, senang maafkan orang, jangan bermusuh dengan orang, dan bantu orang yang memerlukan.

"Banyak lagi pesan dia memang banyak, dia ingat mati, dia selalu ingat mati tapi itu sajalah yang saya boleh katakan sebab arwah dan wasiatkan pada saya yang dia tidak mahu kebaikan dirinya diketahui oleh orang. Cukup sekadar mendoakan untuk dia sahaja," katanya.

Jenazah sebelum itu disembahyangkan di Masjid Bandar Tun Hussein Onn, Cheras oleh kira-kira 200 jemaah yang dipimpin anak allahyarham, Syed Syaqir. - Foto Astro AWANI / Shahir Omar
Mayat Syed Redzuan ditemui pada 28 November oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas allahyarham dan seorang lagi rakan pendaki, Ramli Abdul Majid, 44, dilaporkan hilang pada 20 November selepas terpisah daripada kumpulan pendaki lain ketika mendaki gunung setinggi 5,610 meter itu.

Sementara itu, ketua ekspedisi pendakian, Rozaimi Mohd Said memaklumkan operasi SAR mencari Ramli masih belum dapat diteruskan ekoran cuaca buruk di kawasan pencarian di lembah Yakhir sejak beberapa hari lepas.

Beliau menerusi pesanan Whatsapp pada masa sama memohon doa seluruh warga Malaysia supaya Ramli dapat ditemui dalam keadaan selamat.