Skip to main content

Dunia

Lima kanak-kanak antara tujuh maut dalam banjir kilat di timur Syria

Pemandangan dari udara menunjukkan sebuah kenderaan terperangkap dalam air banjir selepas hujan lebat mencetuskan banjir kilat di Wilayah Deir Ez-Zor, Syria. - Foto REUTERS
Pemandangan dari udara menunjukkan sebuah kenderaan terperangkap dalam air banjir selepas hujan lebat mencetuskan banjir kilat di Wilayah Deir Ez-Zor, Syria. - Foto REUTERS

Advertisement

Advertisement

DAMSYIK: Tujuh mangsa, termasuk lima kanak-kanak, maut manakala tujuh lagi cedera selepas hujan lebat mencetuskan banjir kilat di beberapa wilayah di timur Syria, menurut pihak berkuasa negara itu pada Jumaat.

Menteri Kecemasan dan Pengurusan Bencana Syria, Raed al-Saleh, berkata empat individu masih hilang dan pasukan penyelamat sedang meneruskan operasi mencari di kawasan yang ditenggelami banjir.

Menurut beliau, lima kanak-kanak terbabit lemas dalam takungan air yang terbentuk akibat banjir berkenaan, manakala seorang lagi mangsa maut dalam kemalangan jalan raya yang dikaitkan dengan keadaan cuaca buruk. Bagaimanapun, butiran mengenai seorang lagi korban tidak didedahkan.

Advertisement

Banjir melanda wilayah Raqqa, Deir al-Zor dan Hasakah di timur Syria, selain beberapa kawasan di Aleppo, menyebabkan kerosakan infrastruktur, memutuskan hubungan jalan raya serta memaksa penduduk meninggalkan kediaman mereka.

Raed berkata pasukan pertahanan awam Syria telah melaksanakan lebih 550 operasi kecemasan sejak ribut melanda negara itu, termasuk menyelamatkan 60 individu yang terperangkap akibat banjir dan memberi maklum balas kepada lebih 900 panggilan kecemasan.

Advertisement

Pasukan penyelamat turut memindahkan lebih 350 pelajar dari dua sekolah serta membantu 375 keluarga keluar dari kem penempatan di wilayah Raqqa.

Operasi turut dijalankan di beberapa kem di kawasan luar bandar Aleppo dan Idlib yang terjejas akibat banjir.

Agensi berita kerajaan Syria, SANA, melaporkan banjir di Deir al-Zor turut menyebabkan kerosakan pada rangkaian jalan raya dan telekomunikasi, sekali gus menjejaskan perhubungan dan pengangkutan di kawasan terlibat.

Hujan lebat juga mengakibatkan tujuh pembetung runtuh, menyebabkan beberapa kawasan terputus hubungan.

Susulan keadaan cuaca yang semakin buruk, pihak berkuasa menggantung sesi persekolahan di Raqqa, Hasakah dan Deir al-Zor pada Khamis.

Ramalan cuaca turut memberi amaran bahawa cuaca tidak menentu dijangka berterusan sehingga Sabtu.

 

 

Must Watch Video

Advertisement