KUALA LUMPUR: Jenazah tokoh pemikir peradaban Islam Prof Diraja Tan Sri Syed Muhammad Naquib Al-Attas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Bukit Kiara pada Isnin.
Upacara pengebumian selesai pada jam 12.30 tengah hari.
Advertisement
Sebelum itu, kenderaan membawa jenazah Allahyarham tiba di Masjid At Taqwa, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) pada jam 9.40 pagi seterusnya dikafan dan disolatkan pada jam 11.30 pagi.
Solat jenazah telah dipimpin oleh anak lelaki Allahyarham, Datuk Syed Ali Tawfik Al-Attas.
Pengebumian Allahyarham Syed Muhammad Naquib dihadiri lebih 200 orang termasuk ahli keluarga, sahabat dan kenalan.
Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan; pendakwah Ali Zainal Abidin Abu Bakar Al-Hamid dan Duta Besar Republik Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yüksel.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital KPJ Damansara pada jam 6.47 petang Ahad, pada usia 95 tahun.
Syed Muhammad Naquib dilahirkan pada 5 September 1931 di Bogor, Indonesia.
Allahyarham berkahwin dengan Latifah Abdullah dan dikurniakan empat cahaya mata, iaitu Sharifah Faizah Al-Attas, Datuk Syed Ali Tawfik Al-Attas, Sharifah Shifa Al-Attas dan Syed Haidar Al-Attas.
Allahyarham yang terkenal dengan sumbangannya dalam bidang falsafah, teologi dan tamadun Islam menerima gelaran Profesor Diraja Pendidikan Islam pada 23 Oktober 2024 sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan besarnya kepada pembangunan ilmu serta pendidikan Islam.
Allahyarham merupakan pengasas serta pengarah Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) dan pernah dilantik sebagai Profesor Pelawat Terhormat di Pusat Kajian Lanjutan Mengenai Islam, Sains dan Tamadun (CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 2012.
Allahyarham turut pernah memegang jawatan sebagai Ahli Lembaga Penasihat bagi beberapa institusi akademik antarabangsa termasuk Siri Terjemahan Islam Al-Hikma di Institut Pengajian Kebudayaan Global, Binghamton University, Universiti Brigham Young serta Akademi Diraja bagi Penyelidikan Tamadun Islam, Ensiklopedia Tamadun Arab Islam, Amman, Jordan.
Allahyarham juga pernah mempengerusikan beberapa mesyuarat penting termasuk Panel Mengenai Islam di Asia Tenggara pada Kongres Antarabangsa des Orientalistes ke-29 di Paris selain terlibat dalam mesyuarat UNESCO di Aleppo, Syria.