Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Jenazah Tun Dr Siti Hasmah tiba di Masjid As-Syarif untuk dimandi, dikafankan

Tun Siti Hasmah Funeral -- AWANI
Jenazah akan dibawa ke Pusara Negara di Presint 20, Putrajaya selepas solat Asar untuk disemadikan.
Advertisement

SERI KEMBANGAN: Jenazah Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tiba di Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah, di sini, sekitar jam 2.55 petang, pada Isnin untuk proses pengurusan jenazah.

Difahamkan seterusnya Allahyarham yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan diberikan penghormatan terakhir oleh ahli keluarga, sahabat handai serta orang ramai sehingga jam 4.30 petang.

Jenazah akan dibawa ke Pusara Negara di Presint 20, Putrajaya selepas solat Asar untuk disemadikan.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Kerajaan MADANI akan memberikan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara kepada Allahyarham.

Beliau berkata Ketua Setiausaha Negara dan Panglima Angkatan Tentera telah diarahkan membantu urusan serta pelaksanaan istiadat berkenaan.

Tinjauan Astro AWANI mendapati beberapa anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang lengkap berpakaian istiadat mula memasuki pekarangan masjid.

Antara kenamaan yang kelihatan ialah Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan delegasi dari Singapura.

Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.20 pagi tadi.

Jenazah kemudian dibawa ke kediaman keluarga di Mines Resort City, di sini, bagi memberi ruang kepada ahli keluarga dan kenalan terdekat mengadakan bacaan Yasin sebelum urusan pengebumian dijalankan.

Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah, yang meninggal dunia pada usia 100 tahun, akan terus dikenang sebagai tokoh wanita negara yang banyak menabur bakti dalam bidang perubatan, kebajikan masyarakat serta pembangunan negara.

Must Watch Video

Advertisement