Hujan sejak tengah hari bagaikan mengiringi suasana pilu yang menyelubungi pengebumian guru tahfiz, Mohd Yusuf Md di Tanah Perkuburan Islam Felda Gunung Besout 4 dekat sini yang dilaksanakan selepas Isyak malam tadi.

Hujan yang mulai berhenti kira-kira 8 malam membolehkan kira-kira 300 penduduk setempat menghadiri majlis pengebumian itu yang berlangsung kira-kira pukul 9.30 malam dengan talkin dibacakan sendiri oleh abang ipar arwah, Khairul Fahmi Daud.

Selain penduduk kampung dan anggota keluarga, upacara pengebumian turut dibantu beberapa anggota Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Allahyarham Mohd Yusuf, 26, merupakan warden dan tenaga pengajar di tahfiz itu terkorban dalam tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung, Datuk Keramat pagi Khamis yang turut meragut nyawa seorang lagi tenaga pengajar dan 21 pelajar.



Terdahulu, jenazah Allahyarham serta jenazah lain dimandi menggunakan teknik tayammum, dikafan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) dan disolatkan bersama di surau Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum dibawa ke tanah perkuburan yang ditetapkan oleh waris masing-masing untuk disemadikan.

Van pembawa jenazah Mohd Yusuf yang bertolak dari HKL kira-kira pukul 6 petang tiba di Masjid Asslamuddin di sini kira-kira pukul 8.40 malam dan jenazah disembahyangkan sekali lagi oleh penduduk setempat, sanak saudara dan anggota keluarga.

Turut mengiringi jenazah, beberapa orang adik beradiknya termasuk abang sulung arwah, Noor Azam, 40 serta emaknya Saadiah Othman, 62.

Allahyarham Mohd Yusuf, yang masih bujang, belajar di pusat tahfiz itu sejak berusia 15 tahun dan kemudian berkhidmat sebagai guru dan warden di pusat sama.

-- BERNAMA