KUALA LUMPUR: Jepun menyumbang empat peranti akustik jarak jauh (LRAD) kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam menjamin keselamatan perairan Malaysia.

Kedutaan Jepun di Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, peralatan yang didermakan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) akan digunakan bagi tujuan penguatkuasaan undang-undang maritim di perairan Malaysia sejurus ia selesai menjalani prosedur yang ditetapkan.

"Sebelum ini, Jepun melalui JICA telah menghantar pakar ke APMM untuk melaksanakan pelbagai projek kerjasama melibatkan teknikal dalam bidang penguatkuasaan undang-undang maritim, operasi mencari dan menyelamat dan sebagainya sejak penubuhan APMM pada 2005," menurut kenyataan itu.

Jepun turut menyumbang dua kapal peronda besar, KM Arau dan KM Pekan ke Malaysia pada 2016 dan kedua-dua kapal itu telah memainkan peranan penting dalam melindungi perairan Malaysia sehingga hari ini, menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, kedutaan Jepun mendedahkan bahawa bengkel Penguatkuasaan Undang-undang Maritim mengenai penangkapan ikan tidak dilaporkan dan tidak dikawal (IUU) telah diadakan di Kota Kinabalu, Sabah hari ini dengan kerjasama JICA, Pengawal Pantai Jepun (JCG) dan APMM.

Bengkel itu diadakan di atas kapal KM Arau termasuk kuliah mengenai undang-undang antarabangsa dan penggunaan LRAD terhadap kapal penangkap ikan IUU dengan kerjasama jurulatih dari JCG.

Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko dalam ucapan perasmiannya pada majlis itu berharap bengkel itu akan meningkatkan lagi hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara Jepun dan Malaysia bagi mempromosikan keselamatan maritim di rantau ini, dan 2023 menandakan tahun ke-50 jalinan Persahabatan dan Kerjasama antara ASEAN-Jepun.

-- BERNAMA