KUALA LUMPUR: Sebanyak 36 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat pagi ini, dengan Johan Setia, Selangor mencatat bacaan tertinggi iaitu 191.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), kawasan lain yang mencatat bacaan hampir kepada paras sangat tidak sihat ialah Cheras, Kuala Lumpur (190), Nilai, Negeri Sembilan (189), Putrajaya (187) dan Batu Pahat, Johor (187).
Turut merekodkan bacaan tidak sihat ialah Shah Alam dan Seremban masing-masing pada paras 180, diikuti Batu Muda (178), Petaling Jaya (177), Banting (177) dan Segamat (177).
Di Melaka, Bukit Rambai mencatat bacaan 175, Bandaraya Melaka (174) dan Alor Gajah (173), manakala beberapa kawasan di Johor seperti Pasir Gudang (174), Tangkak (169), Larkin (168), Pengerang (165), Kota Tinggi (164) dan Kluang (161) turut berada pada tahap tidak sihat.
Pahang juga merekodkan beberapa kawasan dalam kategori tidak sihat, termasuk Temerloh (169), Indera Mahkota Kuantan (160), Rompin (159), Jerantut (157) dan Balok Baru Kuantan (155).
Di Terengganu, Kemaman dan Paka masing-masing mencatat bacaan 155, manakala Kuala Terengganu turut memasuki kategori tidak sihat dengan bacaan 131.
Turut mencatat bacaan tidak sihat ialah Tawau, Sabah (155), Tanjung Malim (154), Tasek Ipoh (152) dan Pegoh Ipoh (135) di Perak, selain IPD Serian (152) dan Kuching (110) di Sarawak.
Sementara itu, 30 stesen pemantauan mencatat bacaan sederhana, termasuk Kuala Selangor (98), Samarahan (97), Sri Aman (96), Kota Bharu (95) dan Sungai Petani (90).
Hanya dua kawasan merekodkan kualiti udara pada tahap baik iaitu Kangar, Perlis dengan bacaan 43 dan Langkawi, Kedah dengan bacaan 33.
Mengikut klasifikasi APIMS, bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan 51 hingga 100 berada pada tahap sederhana dan 0 hingga 50 pada tahap baik.
Orang ramai, khususnya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai penyakit pernafasan dan jantung, dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar dan memakai pelitup muka jika perlu ketika keadaan jerebu berterusan.