Skip to main content

Malaysia

Jerebu: Batu Pahat catat bacaan tertinggi, sembilan kawasan kekal tidak sihat setakat 1 tengah hari

Berdasarkan data terbaharu Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Johor dan Lembah Klang terus merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi. -Gambar fail/Bernama
Berdasarkan data terbaharu Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Johor dan Lembah Klang terus merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi. -Gambar fail/Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Situasi jerebu di beberapa kawasan di negara ini kekal membimbangkan apabila sembilan stesen terus merekodkan bacaan kualiti udara tidak sihat setakat jam 1 tengah hari ini.

Berdasarkan data terbaharu Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Johor dan Lembah Klang terus merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi.

Stesen Batu Pahat, Johor mencatat bacaan IPU tertinggi negara iaitu 158, diikuti Larkin dan Pasir Gudang yang masing-masing merekodkan bacaan 156.

Di Kuala Lumpur, stesen Cheras mencatat bacaan 153, manakala Johan Setia, Selangor merekodkan bacaan 152 dan Putrajaya 151.

Turut berada dalam kategori tidak sihat ialah Nilai, Negeri Sembilan dengan bacaan 131, diikuti stesen IPD Serian, Sarawak (125) dan Bukit Rambai, Melaka (114).

Sementara itu, sebanyak 57 stesen pemantauan di seluruh negara berada dalam kategori sederhana.

Antara kawasan yang hampir memasuki kategori tidak sihat ialah Kluang, Johor dengan bacaan 99, diikuti Segamat dan Kuching (97), Batu Muda (96) serta Shah Alam (94).

Hanya dua stesen di seluruh negara mencatatkan kualiti udara pada kategori baik, iaitu Langkawi, Kedah dengan bacaan IPU 31 dan Balik Pulau, Pulau Pinang dengan bacaan 49.

Mengikut APIMS, bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan melebihi 300 berbahaya.

Orang ramai, khususnya mereka yang berada di kawasan mencatatkan bacaan tidak sihat, dinasihatkan mengurangkan aktiviti fizikal di luar bangunan.

Golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang menghidap penyakit pernafasan turut digesa mengambil langkah pencegahan kesihatan yang sewajarnya sepanjang tempoh berjerebu.

Must Watch Video

Advertisement