Ringkasan AI
- Mahkamah dimaklumkan representasi untuk menggugurkan pertuduhan pengubahan wang haram terhadap bekas CEO GISB Holdings dan tiga bekas akauntan telah ditolak.
- Pendakwaan akan memanggil 15 hingga 20 saksi dan perbicaraan ditetapkan bermula 26 April hingga 8 Julai 2027.
- Permohonan pemulangan pasport Nasiruddin untuk ke Makkah diluluskan dengan syarat pasport dipulangkan semula sebelum atau pada 10 November 2026.
SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini hari ini dimaklumkan bahawa representasi dikemukakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd serta tiga bekas akauntan syarikat itu bagi menggugurkan pertuduhan pengubahan wang haram telah ditolak.
Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul yang hadir bersama Muhamad Ehsan Nasarudin berkata pihak pendakwaan memohon agar kes berkenaan diteruskan dengan perbicaraan.
“Dukacita dimaklumkan pada pagi ini pihak pendakwaan ingin memaklumkan mahkamah yang representasi telah ditolak dan pihak pendakwaan akan meneruskan perbicaraan kes.
“Kami akan memanggil saksi pendakwaan antara 15 hingga 20 orang dan tarikh perbicaraan saya percaya kami memerlukan enam ke lapan hari,” katanya pada prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim Datin Fatimah Zahari.
Keempat-empat tertuduh ialah Nasiruddin Mohd Ali, 67, yang berdepan 77 pertuduhan melibatkan lebih RM10 juta; Hamimah Yakub, 74, dengan 95 pertuduhan membabitkan RM11.4 juta; Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 46, yang menghadapi 68 pertuduhan melibatkan RM4.7 juta; serta Mohd Khushairi Osman, 55, yang berdepan 91 pertuduhan membabitkan hampir RM12 juta.
Peguam yang mewakili semua tertuduh, Datuk Rosli Kamaruddin bagaimanapun memaklumkan pihaknya bercadang untuk mengemukakan representasi baharu selepas aset-aset disita dikembalikan secara rasmi kepada anak guamnya.
Beliau berkata representasi baharu itu antara lain akan menyentuh isu untuk meneroka penyelesaian secara kompaun.
“Untuk makluman, representasi terdahulu tidak ada isu mengenai kompauan, jadi mungkin ada satu representasi bagi mempertimbangkan penyelesaian secara kompaun,” katanya yang hadir bersama peguam Muhammad Zaim Rosli.
Beliau turut memohon mahkamah menetapkan pengurusan kes bagi status representasi berkenaan pada Januari 2027.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Fatimah menetapkan perbicaraan kes bermula 26 hingga 28 April, 28 hingga 30 Jun dan 6 hingga 8 Julai 2027, sementara status representasi kedua semua tertuduh ditetapkan pada 26 Jan tahun depan.
Sementara itu, Rosli turut memohon kebenaran mahkamah untuk mendapatkan semula pasport Nasiruddin yang hadir berkerusi roda bagi membolehkannya ke Makkah untuk menemui isteri keempatnya Ummu Mubaroqah Ashaari, 32, yang dijadual menjalani pembedahan kelahiran secara caesarean pada bulan ini.
Beliau berkata pihak Hospital Muhammad Saleh Basharahil di Makkah menasihatkan Nasiruddin hadir bagi memberikan keizinan untuk pembedahan isterinya yang kini telah cukup bulan kandungan, namun tarikh tepat pembedahan belum ditetapkan.
Mohd Ashrof Adrin memaklumkan pihak pendakwaan tidak membantah permohonan itu tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan dalam notis permohonan, termasuk pasport dipulangkan kepada mahkamah pada atau sebelum 10 Nov 2026.
Hakim kemudian membenarkan permohonan berkenaan mengikut syarat yang ditetapkan.
Pada 10 Sept 2025, Nasiruddin dan tiga bekas akauntan syarikat itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi mereka.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan bank sekitar Selangor antara 2020 hingga 2024, melibatkan transaksi kepada beberapa pihak antaranya akaun bank milik GISBH Sdn Bhd, GISB Mart Sdn Bhd, GISB Travel and Tours Sdn Bhd serta syarikat pusat jagaan kanak-kanak.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613), yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
-- BERNAMA
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Apakah status terkini representasi yang dikemukakan oleh bekas CEO GISB Holdings Sdn Bhd dan tiga bekas akauntan syarikat itu?
A: Mahkamah dimaklumkan bahawa representasi untuk menggugurkan pertuduhan pengubahan wang haram telah ditolak. - Q: Bilakah tarikh perbicaraan kes pengubahan wang haram ini akan berlangsung?
A: Perbicaraan ditetapkan bermula 26 hingga 28 April, 28 hingga 30 Jun, dan 6 hingga 8 Julai 2027. - Q: Berapakah jumlah pertuduhan dan nilai wang yang terlibat bagi setiap tertuduh?
A: Nasiruddin Mohd Ali berdepan 77 pertuduhan (lebih RM10 juta), Hamimah Yakub 95 pertuduhan (RM11.4 juta), Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly 68 pertuduhan (RM4.7 juta), dan Mohd Khushairi Osman 91 pertuduhan (hampir RM12 juta). - Q: Apakah tindakan lanjut yang akan diambil oleh pihak pembelaan selepas penolakan representasi terdahulu?
A: Pihak pembelaan bercadang mengemukakan representasi baharu selepas aset disita dikembalikan, termasuk mempertimbangkan penyelesaian secara kompaun. - Q: Apakah hukuman yang boleh dikenakan jika sabit kesalahan di bawah Akta AMLATFPUAA 2001?
A: Hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.