Skip to main content

Malaysia

Jerebu: Empat kawasan di Sarawak catat IPU sangat tidak sihat setakat 3 petang

BERNAMA
Sebanyak empat kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) sangat tidak sihat setakat 3 petang dengan Kuching merekodkan bacaan tertinggi, iaitu 261. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak empat kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) sangat tidak sihat setakat 3 petang dengan Kuching merekodkan bacaan tertinggi, iaitu 261.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Azuri Azizah Saedon berkata tiga lagi kawasan yang merekodkan bacaan sangat tidak sihat ialah IPD Serian (254), Sri Aman (234) dan Samarahan (231).

Beliau berkata 23 kawasan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, iaitu di Perak membabitkan Tasek Ipoh (159), Pegoh Ipoh (151), Seri Manjung (156) dan Tanjung Malim (156) manakala di Kuala Lumpur membabitkan Batu Muda (163) dan Cheras (159).

Di Selangor, IPU tidak sihat direkodkan di Kuala Selangor (124), Petaling Jaya (154), Shah Alam (163), Klang (155), Johan Setia (165) dan Banting (159) manakala di Negeri Sembilan membabitkan Nilai (159) dan Seremban (153), selain dua kawasan di Melaka melibatkan Alor Gajah (146) dan Bukit Rambai (107).

Turut mencatatkan IPU tidak sihat ialah ILP Miri (173), Miri (164), Samalaju (179), Bintulu (168), Mukah (185) dan Sarikei (185) yang kesemuanya di Sarawak serta Putrajaya (156).

Beliau berkata berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 7 Sept, sebanyak 109 titik panas dikesan di Kalimantan, 119 di Sumatera dan lima titik panas di Malaysia, iaitu empat di Pahang dan satu di Terengganu. 

“ASMC turut melaporkan kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga tebal diperhatikan meliputi bahagian barat laut Borneo.

“Kepulan asap sederhana hingga tebal turut diperhatikan berpunca daripada kelompok titik panas yang dikesan di banyak kawasan di Kalimantan, bahagian timur Jawa serta bahagian tengah dan selatan Sumatera. Jerebu sederhana turut diperhatikan di bahagian barat Semenanjung Malaysia,” katanya. 

Beliau berkata JAS menerusi Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) akan terus memantau kualiti udara dari semasa ke semasa dengan tindakan dilaksanakan bersama agensi berkaitan mengikut tahap dan perkembangan semasa.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement