KUALA LUMPUR: Hanya satu kawasan di Malaysia merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat pagi ini, menurut laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS).
Kawasan berkenaan ialah IPD Serian, Sarawak yang mencatatkan bacaan IPU 147, sekali gus berada dalam kategori tidak sihat.
Bacaan IPU antara 101 hingga 200 diklasifikasikan sebagai tidak sihat dan boleh memberi kesan kepada golongan sensitif seperti kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah pernafasan.
Orang ramai di kawasan terjejas dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar, selain memakai pelitup muka sekiranya perlu berada di kawasan terbuka bagi mengurangkan pendedahan kepada pencemaran udara.
Maklumat terkini mengenai bacaan IPU boleh diperoleh menerusi laman sesawang APIMS yang dikendalikan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).