JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor memutuskan melanjutkan tempoh penutupan semua sekolah dan institusi pendidikan di seluruh negeri selama lima hari bermula 12 hingga 16 Okt ini susulan situasi jerebu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata keputusan itu dibuat atas titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail berikutan kemerosotan kualiti udara ketika ini.
Beliau berkata keputusan itu juga mengambil kira beberapa faktor utama berdasarkan penilaian situasi semasa antaranya jangkaan pergerakan angin dari arah Kalimantan, Indonesia bagi tempoh 13 hingga 15 Okt ini, yang berpotensi membawa pencemaran udara rentas sempadan sekali gus mempengaruhi tahap kualiti udara di negeri ini.
"Selain itu, faktor kepekatan partikel pencemar udara dan keadaan atmosfera statik yang berpotensi menyebabkan jerebu berlarutan untuk tempoh lebih panjang serta trend bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dilaporkan antara 170 hingga 180," katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Naqib berkata penelitian risiko dan statistik kesihatan turut dilakukan terhadap kesan pencemaran udara, khususnya risiko gangguan pernafasan dalam kalangan kanak-kanak, murid dan warga pendidikan yang lebih terdedah kepada kesan jerebu
Justeru, beliau berkata bagi sekolah yang terlibat dengan pelaksanaan pentaksiran atau penilaian akademik sepanjang tempoh berkenaan, segala urusan berkaitan akan ditangguhkan dan dijadualkan semula berdasarkan ketetapan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) serta pihak berkaitan.
"Pada masa sama, pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan mengikut kesesuaian bagi memastikan kesinambungan proses pembelajaran murid tidak terjejas," katanya.
-- BERNAMA