KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menyarankan agar majlis atau aktiviti di luar bangunan dan melibatkan jumlah kehadiran yang ramai ditangguhkan ke tarikh yang bersesuaian susulan cuaca panas dan jerebu ketika ini.
Pengerusi JPBNS Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata saranan itu sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan pendedahan kepada keadaan kualiti udara yang tidak sihat.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata Program Sarawakku Sayang yang dijadualkan dari 28 hingga 30 Ogos di Mukah dan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak 2026 pada 30 dan 31 Ogos di Kapit ditangguhkan.
“JPBNS bersama agensi berkaitan akan terus melaksanakan pemantauan dan penyelarasan tindakan berdasarkan perkembangan semasa bagi memastikan sebarang risiko kepada keselamatan dan kesihatan awam dapat ditangani dengan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), 10 kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tahap tidak sihat setakat 9 pagi tadi, iaitu Serian (190), Kuching (182), Samarahan (177), Sarikei dan Sri Aman (173), Sibu (161), Bintulu (157), Samalaju dan Mukah (156) serta Miri (151).
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 adalah berbahaya.
-- BERNAMA