Ringkasan AI
- Malaysia menuntut tindakan berkesan daripada Indonesia untuk menangani pencemaran rentas sempadan yang menjejaskan kesihatan rakyat akibat kebakaran hutan dan tanah.
- Isu pencemaran akan dibawa ke mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di Manila, dengan Malaysia mengusulkan kerjasama serantau dan cadangan Dana Jerebu Mampan.
- Jabatan Alam Sekitar telah mengambil 3,433 tindakan penguatkuasaan terhadap pembakaran terbuka dan memperkukuh infrastruktur pencegahan kebakaran di seluruh negara.
PUTRAJAYA: Malaysia berhak menuntut tindakan berkesan daripada Indonesia bagi menangani pencemaran rentas sempadan yang menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan rakyat, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.
Beliau berkata Malaysia menghormati hubungan baik dengan Indonesia, namun mengharapkan negara jiran itu mempercepat usaha mengawal kebakaran hutan dan tanah, serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab.
“Pendirian Malaysia jelas. Kita menghormati hubungan baik dengan Indonesia, tetapi kita juga berhak menuntut tindakan yang berkesan apabila pencemaran rentas sempadan menjejaskan rakyat kita.
“Malaysia telah bersedia membantu. Kita mengharapkan Indonesia mempercepat tindakan mengawal kebakaran di puncanya dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya pada sidang media Libat Urus Berhubung Situasi Jerebu, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata Malaysia akan terlebih dahulu membawa isu berkenaan ke peringkat ASEAN menerusi mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dijadual berlangsung di Manila pada awal November ini.
Katanya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu lepas, dengan Kementerian Luar Negeri (KLN) akan membangkitkan isu berkenaan bagi mengusahakan penyelesaian melalui kerangka serantau.
“Dalam kerangka ASEAN, terdapat dua prinsip yang perlu dihormati, iaitu kedaulatan setiap negara anggota dan keperluan setiap tindakan berpegang kepada prinsip konsensus.
“Bagaimanapun, kita tetap berpegang kepada prinsip bahawa kita berhak menuntut dan memastikan rakyat kita dapat menikmati udara yang bersih,” katanya.
Arthur berkata Menteri Luar Negeri akan memaklumkan perkembangan hasil mesyuarat berkenaan sebelum kerajaan menentukan tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan Malaysia telah mengemukakan cadangan Diplomasi Sains dan Dana Jerebu Mampan menerusi mekanisme ASEAN bagi memperkukuh usaha pencegahan, kesiapsiagaan dan pemantauan di peringkat serantau.
Beliau berkata Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) juga akan terus meneliti mekanisme dasar dan perundangan bagi meningkatkan keupayaan negara menangani pencemaran rentas sempadan.
“Keutamaan kita jelas: kebakaran mesti dikawal, pencemaran mesti dikurangkan dan rakyat mesti dilindungi,” ujarnya lagi.
Dari sudut kawalan domestik pula, kementerian tegasnya, mengamalkan pendekatan tanpa toleransi ke atas perbuatan pembakaran terbuka.
Sepanjang tempoh 3 Ogos hingga 16 Oktober 2026, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengambil 3,433 tindakan penguatkuasaan bagi sebagai respons kepada 2,361 aduan kes pembakaran terbuka.
“Ini merangkumi pengeluaran 2,361 arahan di lapangan, 201 notis amaran, pengeluaran 39 kompaun, serta kes telah dibawa untuk tindakan di
mahkamah.
“Pemantauan secara berterusan turut dijalankan melalui 1,408 rondaan darat dan 78 kali penerbangan dron.
“Kerajaan sentiasa bertindak proaktif dalam mencegah pembakaran di kawasan berisiko tinggi seperti kawasan tanah gambut.
“Setakat Disember 2025, JAS telah membangunkan infrastruktur pencegahan api yang komprehensif di seluruh negara, merangkumi pembinaan 570 sekatan saliran, pengorekan 107 telaga tiub, dan pembinaan 15 kolam takungan.
“Infrastruktur sokongan teknikal turut diperhebat dengan penyediaan 111 alat pengukur paras air tanah dan enam buah menara tinjau demi mengekang kebakaran tanah gambut bawah tanah secara tuntas,” jelas Arthur.