Ringkasan AI
- Jumlah kawasan mencatatkan bacaan IPU Tidak Sihat meningkat kepada 15 setakat 11 pagi, menurut data Jabatan Alam Sekitar (JAS).
- Pasir Gudang, Johor kekal mencatatkan bacaan IPU tertinggi pada paras 178, diikuti Larkin (177) dan Kuala Terengganu (158).
- KKM dan JAS menasihati penduduk terjejas, khususnya di Pantai Timur, Johor dan Miri, supaya mengurangkan aktiviti luar dan memakai pelitup muka.
KUALA LUMPUR: Situasi jerebu di seluruh negara menunjukkan sedikit kemerosotan apabila jumlah kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) Tidak Sihat meningkat kepada 15 setakat 11 pagi ini.
Data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan stesen pemantauan Miri, Sarawak menjadi kawasan terbaharu memasuki kategori Tidak Sihat selepas mencatatkan bacaan 101 berbanding 97 pada jam 10 pagi.
Kawasan perindustrian Pasir Gudang, Johor kekal mencatatkan bacaan tertinggi negara pada paras 178, diikuti Larkin dengan bacaan 177. Kedua-dua stesen itu merekodkan penurunan satu mata dalam tempoh sejam lalu.
Peningkatan bacaan turut dikesan di Pantai Timur apabila Kuala Terengganu meningkat kepada 158, manakala Paka naik tujuh mata kepada 151.
Bagaimanapun, Balok Baru di Kuantan, Pahang dan Kemaman, Terengganu kekal pada tahap hampir sama dengan bacaan masing-masing 159 dan 156.
Di Johor, Batu Pahat kembali mencatatkan peningkatan kepada 151 berbanding 145 sejam sebelumnya. Di Kuala Lumpur pula, bacaan IPU di Cheras menurun sedikit kepada 154 berbanding 156 pada jam 10 pagi.
Sementara itu, kualiti udara di sebahagian besar kawasan Pantai Barat terus kekal dalam kategori Sederhana termasuk Seremban (81), Putrajaya (78), Shah Alam (80) dan Klang (76).
Sebanyak empat stesen di utara Semenanjung kekal dalam kategori Baik, diterajui Balik Pulau, Pulau Pinang dengan bacaan terendah negara iaitu 26, diikuti Langkawi, Kedah (38), Minden, Pulau Pinang (45) dan Kangar, Perlis (47).
Secara keseluruhan, daripada 68 stesen pemantauan kualiti udara yang dikendalikan JAS, sebanyak 15 stesen berada pada tahap Tidak Sihat (101 hingga 200), 49 stesen merekodkan tahap Sederhana (51 hingga 100), manakala empat stesen berada pada tahap Baik (0 hingga 50).
KKM dan JAS terus menasihati orang ramai, terutama penduduk di Pantai Timur, Johor dan Miri yang terjejas, agar mengurangkan aktiviti luar serta memakai pelitup muka yang sesuai sekiranya perlu berada di kawasan terbuka.
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Berapakah jumlah kawasan yang mencatatkan bacaan IPU Tidak Sihat setakat 11 pagi?
A: Sebanyak 15 kawasan mencatatkan bacaan IPU Tidak Sihat setakat 11 pagi. - Q: Kawasan manakah yang mencatatkan bacaan IPU tertinggi di negara ini?
A: Kawasan perindustrian Pasir Gudang, Johor mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 178, diikuti Larkin dengan 177. - Q: Apakah nasihat KKM dan JAS kepada orang ramai berikutan situasi jerebu?
A: KKM dan JAS menasihati orang ramai, terutama di Pantai Timur, Johor dan Miri, agar mengurangkan aktiviti luar serta memakai pelitup muka yang sesuai jika perlu berada di kawasan terbuka. - Q: Berapakah jumlah stesen pemantauan kualiti udara yang dikendalikan JAS dan pecahan tahap bacaan IPU?
A: Daripada 68 stesen pemantauan, 15 stesen berada pada tahap Tidak Sihat, 49 stesen pada tahap Sederhana, dan empat stesen pada tahap Baik. - Q: Kawasan manakah yang mencatatkan bacaan IPU terendah di negara ini?
A: Balik Pulau, Pulau Pinang mencatatkan bacaan IPU terendah iaitu 26.