KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) menggesa penganjur acara, pihak swasta dan komuniti menilai dengan teliti keadaan jerebu serta bacaan rasmi Indeks Pencemar Udara (IPU) sebelum membuat keputusan sama ada meneruskan, menangguhkan atau membatalkan aktiviti.
Pengerusi SDMC Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata walaupun keputusan masih terletak pada budi bicara penganjur, pertimbangan yang bertanggungjawab berdasarkan risiko terhadap kesihatan awam amat penting, khususnya bagi program di kawasan terbuka.
"SDMC ingin jelaskan bahawa pada masa ini, keputusan untuk meneruskan, menangguhkan atau membatalkan aktiviti masih terletak pada budi bicara penganjur masing-masing, kecuali arahan khusus dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkaitan.
"Apabila IPU melebihi 200, penganjur amat disaran mempertimbangkan semula aktiviti fizikal di kawasan terbuka, senaman dan sukan lasak, khususnya jika penyertaan melibatkan kanak-kanak, warga emas atau kumpulan rentan yang lain," katanya dalam kenyataan hari ini.
Uggah yang juga Timbalan Premier Sarawak menyarankan penganjur mengambil langkah alternatif seperti memindahkan acara ke lokasi tertutup, mengubah suai aktiviti atau menangguhkannya sekiranya kualiti udara semakin merosot.
Beliau berkata SDMC bekerjasama rapat dengan agensi negeri dan Persekutuan bagi memantau keadaan secara berterusan serta melaksanakan langkah secara berperingkat mengikut garis panduan pengurusan bencana yang ditetapkan.
"Jika IPU melebihi 500, garis panduan yang berkuat kuasa memperuntukkan pejabat dan tempat kerja sektor kerajaan serta swasta ditutup, kecuali perkhidmatan penting sementara menunggu pengisytiharan Darurat Bencana oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)," katanya.
Kualiti udara di beberapa kawasan di Sarawak merosot pada tengah hari, menyaksikan Serian, Samarahan dan Kuching merekodkan bacaan IPU pada tahap berbahaya setakat 12.30 tengah hari ini.
Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU di stesen pemantauan Ibu Pejabat Polis Daerah Serian ialah 412, diikuti Samarahan (332) dan Kuching (304).
Sri Aman pula merekodkan bacaan pada tahap sangat tidak sihat, iaitu 228.
Kawasan yang merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat ialah Sarikei (197), Sibu (190), Bintulu (183), Mukah (176), Samalaju (175), Kapit (161), Miri (159) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (156).
-- BERNAMA