KUALA LUMPUR: Kualiti udara di stesen Serian, Sarawak terus menunjukkan trend pemulihan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menurun kepada 194 setakat jam 6 petang.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan di Serian susut tiga mata berbanding 197 pada jam 5 petang, sekali gus kekal dalam kategori tidak sihat dan semakin menjauhi paras sangat tidak sihat.
Bagaimanapun, Sarawak kekal sebagai satu-satunya negeri yang merekodkan bacaan IPU tidak sihat melibatkan sembilan stesen.
Kuching mencatat bacaan 187, diikuti Samarahan (175), Sri Aman (173), Bintulu (159), Sarikei (157), Sibu (155), Samalaju (153) dan Kapit (144).
Sementara itu, Mukah di Sarawak dan Bukit Rambai, Melaka mencatat peningkatan kualiti udara dalam kategori sederhana dengan bacaan masing-masing menurun kepada 94 dan 92.
Di Lembah Klang dan kawasan sekitarnya, semua stesen kekal mencatat bacaan sederhana. Cheras di Wilayah Persekutuan, Shah Alam di Selangor serta Labuan merekodkan bacaan tertinggi dalam kategori itu iaitu 86.
Ia diikuti Johan Setia (81), Petaling Jaya (76), Batu Muda (75), Banting (74), Klang (73), Putrajaya (71) dan Kuala Selangor (69).
Sebanyak 12 stesen di seluruh negara merekodkan kualiti udara pada tahap baik dengan Pulau Langkawi, Kedah mencatat bacaan IPU terendah negara iaitu 21.
Stesen lain yang berada dalam kategori baik ialah Kangar (22), Besut (23), Tanah Merah (29), Jerantut (42), Alor Setar (43), Kota Bharu (47), Kuala Terengganu (48), Paka (48), Temerloh (49), Balik Pulau (49) dan Minden (49).
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).
Orang ramai di kawasan yang mencatatkan bacaan tidak sihat dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar, memperbanyakkan pengambilan air dan memakai pelitup muka yang sesuai bagi mengurangkan kesan jerebu terhadap kesihatan pernafasan.