Skip to main content

Malaysia

Jerebu: Selangor teliti langkah susulan Jumaat ini - Amirudin

PUTRAJAYA, 16 Sept - Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari bercakap pada sidang media sempena Majlis Perasmian Festival Buku Islami 2026 dan Pelancaran Buku Pedoman Buat Muda Mudi Muslim karya Seyyed Hossein Nasr di Auditorium Masjid Putra hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Amirudinbercakap pada sidang media sempena Majlis Perasmian Festival Buku Islami 2026 dan Pelancaran Buku Pedoman Buat Muda Mudi Muslim karya Seyyed Hossein Nasr di Auditorium Masjid Putra hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Kerajaan Selangor akan meneliti langkah susulan bagi menangani isu keadaan jerebu yang kembali serius, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata perkara itu akan dibincangkan secara terperinci pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang dijadualkan berlangsung Jumaat ini berdasarkan laporan daripada semua pihak berkaitan.

“Jumaat ini kita ada mesyuarat Exco. Kita akan bincangkan dengan teliti langkah susulan kerana selepas agak reda pada Ahad, keadaan jerebu kembali buruk terutama semalam dan hari ini. Kita akan tengok Jumaat nanti mengikut laporan daripada semua pihak,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Festival Buku Islami 2026 di Masjid Putra di sini bersempena dengan Festival Turath Islami Malaysia.

Beliau berkata kerajaan negeri juga perlu mendapatkan maklumat daripada Jabatan Kesihatan Negeri dan agensi berkaitan sebelum menentukan langkah yang sewajarnya.

“Langkah yang patut dibuat termasuk membantu sekolah dan juga mengawal anak-anak kita yang belajar. Ini kerana mereka mempunyai masa yang agak panjang di sekolah dan (cara untuk) mengehadkan aktiviti luar supaya mereka tidak terdedah kepada keadaan jerebu,” katanya.

Enam kawasan di Selangor mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 4.30 petang ini.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS), enam kawasan di Selangor merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat iaitu Johan Setia (183), Shah Alam (170), Petaling Jaya (164), Klang (160), Banting dan dan Kuala Selangor (159).

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement