GENTING HIGHLANDS: Pengalaman langsung di destinasi pelancongan dilihat mampu menjadikan promosi lebih berkesan dalam menarik minat pelawat, khususnya menerusi perkongsian media dan pencipta kandungan digital yang mengalami sendiri tarikan sesuatu destinasi.
Pendekatan itu menjadi antara tumpuan MY Escape 2026, program eksplorasi pelancongan anjuran Tourism Malaysia dengan kerjasama Astro Gempak dari 20 hingga 22 Oktober, bagi mengetengahkan kepelbagaian tarikan Pahang sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026-2027(VM2026-2027).
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, kerjasama dengan kerajaan negeri Pahang berpotensi meningkatkan kedatangan pelancong domestik dan antarabangsa, selain memperkenalkan lebih banyak tarikan negeri itu kepada pelawat.
“Dengan kerjasama kerajaan negeri Pahang ini, ia akan meningkatkan lagi kedatangan pelancong, bukan sahaja pelancong antarabangsa malah pelancong domestik,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran MY Escape 2026 di sini, pada Selasa.
Beliau turut menyentuh persepsi sesetengah pelancong antarabangsa yang mengaitkan Genting Highlands dengan Kuala Lumpur, sedangkan destinasi itu terletak di Pahang.
Menurutnya, usaha promosi perlu diteruskan bagi meningkatkan kesedaran pelancong mengenai lokasi sebenar serta kepelbagaian tarikan negeri berkenaan.
MY Escape 2026 menghimpunkan 24 wakil media, pemimpin pendapat utama atau (KOL) dan pencipta kandungan digital dari Malaysia serta pasaran serantau, termasuk China, Laos, Filipina, Vietnam dan Indonesia.
Peserta dibahagikan kepada beberapa pasukan untuk menyertai cabaran interaktif yang menggabungkan penerokaan destinasi, kreativiti dan kerjasama.
Mohd Amirul Rizal berkata, penglibatan media dan pencipta kandungan digital membolehkan tarikan pelancongan diketengahkan melalui pengalaman sebenar, sekali gus menghasilkan perkongsian yang lebih tulen kepada khalayak di pasaran masing-masing.
“Apabila media mengalami sendiri sesuatu pengalaman, cara penulisan mereka berbeza berbanding apabila kita memberikan siaran media.
“Ia datang daripada pengalaman mereka sendiri,” jelasnya.
Menurutnya, peserta juga diberi kebebasan untuk berkongsi pengalaman berdasarkan perspektif masing-masing, tanpa perlu terikat dengan mesej promosi yang ditetapkan.
“Apabila mereka menulis atau membuat hantaran, ia datang daripada hati, bukan kerana kita memaksa mereka untuk mempromosikan sesuatu.
“Biarkan mereka berkongsi apa yang ingin disampaikan,” ujarnya.
Beliau berkata, perkongsian sedemikian berpotensi mencetuskan minat dalam kalangan khalayak, khususnya apabila kandungan itu dibaca oleh masyarakat di negara asal peserta.
“Apabila rakyat di negara mereka membaca perkongsian itu, diharapkan timbul keinginan untuk datang dan merasai sendiri pengalaman tersebut,” katanya.
Sepanjang program dari 20 hingga 22 Oktober, peserta akan meneroka Genting Highlands, Bentong, Kuala Gandah, Kuantan dan Cherating menerusi aktiviti yang mengetengahkan alam semula jadi, hidupan liar, gastronomi serta budaya tempatan.
Antara pengisian program ialah aktiviti bersama gajah di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, cabaran di Bentong Farm, serta aktiviti seni ikat celup dan kitar semula di Cherating. Peserta turut menyertai cabaran Sky Walk di Kuantan 188 dan fotografi bertemakan identiti setempat di Kuantan Art Street.
Program itu turut mengetengahkan konsep pelancongan pandu sendiri atau Fly & Drive dengan Perodua sebagai penaja kenderaan rasmi, bagi menggalakkan pelancong menyewa kenderaan dan meneroka destinasi mengikut keselesaan serta jadual perjalanan masing-masing.
Menerusi kerjasama dengan Astro Gempak, media dan pencipta kandungan digital, Tourism Malaysia berharap tarikan Pahang dapat menjangkau khalayak lebih luas, sekali gus menggalakkan lebih ramai pelancong meneroka kepelbagaian destinasi Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026–2027.