Skip to main content

Malaysia

Jerebu: Tiada kawasan catat IPU bahaya, Samarahan sangat tidak sihat

SERIAN, 4 Sept - Keadaan berjerebu yang dirakam di Jalan Serian-Sri Aman, hari ini. Daerah Serian mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) 518 setakat 10 pagi ini, sekali gus berada pada tahap sangat berbahaya akibat jerebu rentas sempadan. - fotoBERNAMA
Orang ramai, khususnya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan, dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Tiada kawasan di negara ini mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap bahaya akibat jerebu setakat jam 6 pagi Isnin.

Bagaimanapun, Samarahan di Sarawak menjadi satu-satunya kawasan yang merekodkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat dengan bacaan 214.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), sebanyak 40 kawasan di seluruh negara berada pada tahap tidak sihat, manakala 24 kawasan mencatat bacaan sederhana dan dua kawasan berada pada tahap baik.

Sarawak kekal sebagai negeri paling terjejas oleh jerebu apabila 10 kawasan merekodkan bacaan IPU tidak sihat, termasuk Sarikei, Kuching dan IPD Serian yang masing-masing mencatat bacaan 191.

Turut merekodkan bacaan tidak sihat ialah Sri Aman (188), Mukah (184), Samalaju (182), Sibu (178), Bintulu (175), ILP Miri (170) dan Limbang (151).

Di Selangor, lima kawasan turut mencatat bacaan IPU tidak sihat iaitu Shah Alam (166), Kuala Selangor (158), Petaling Jaya (157), Banting (156) dan Klang (155).

Beberapa kawasan lain di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan juga berada dalam kategori tidak sihat, termasuk Nilai, Negeri Sembilan (166), Batu Muda, Kuala Lumpur (164), Seremban (164), Putrajaya (163), Cheras (161), Tanjung Malim, Perak (160), Segamat, Johor (157), Labuan (157), Batu Pahat, Johor (156), Seri Manjung, Perak (155) dan Jerantut, Pahang (155).

Orang ramai, khususnya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan, dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar serta mengambil langkah perlindungan sewajarnya ketika keadaan jerebu masih berterusan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement