KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low telah mengarahkan mendiang Kee Kok Thiam menyediakan surat pengesahan daripada Putera Saud Abdul Aziz Al-Saud bagi menyatakan dana-dana yang dimasukkan ke dalam akaun bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah derma dari Arab Saudi.

Bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Jasmine Loo Ai Swan, 50, berkata kejadian itu berlaku di bilik "Business Centre" di Hotel Mayfair di London ketika Jho Low meminta beliau menemuinya pada awal 2015.

"Ketika saya tiba di bilik itu, saya ternampak Kee dan Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman serta pengarah projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) 1MDB Dennis See Thuan Buan juga berada di situ.

Shamsul sedang bertanyakan kepada Jho Low apa jalan penyelesaian berkaitan isu wang yang diterima dalam akaun Najib yang dikatakan daripada Putrajaya Perdana dan SRC. Shamsul juga berkata pelbagai pihak telah mula bertanya berkenaan dengan akaun Najib yang mana kemasukan-kemasukan wang ke dalamnya yang dikatakan duit dari 1MDB," katanya.

Loo berkata Jho Low kemudiannya telah mengarahkan Kee untuk menyediakan satu surat pengesahan daripada Putera Saud untuk menyatakan wang-wang yang dimasukkan ke dalam akaun Najib tersebut adalah derma dari Arab Saudi.

"Selepas itu, saya telah keluar sekejap dengan Jho Low untuk membuat perbincangan tentang perkara lain, namun apabila saya masuk semula ke bilik 'Business Centre' yang sama, saya melihat Kee sedang menyiapkan draf surat derma daripada Putera Saud," katanya dan menambah beliau tidak pasti mengenai nilai derma berkenaan.

Saksi pendakwaan ke-50 berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya setebal 63 muka surat pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Najib.

Menurut Loo, ketika itu draf berkenaan tidak mempunyai tandatangan lagi dan beliau tidak pasti bila surat tersebut dihantar kepada Najib.

Kee yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima wang daripada dana 1MDB dan SRC International telah hilang sejak 2018, tiba di negara ini pada 3 Mei 2023, dan dilaporkan meninggal dunia disebabkan serangan strok secara tiba-tiba pada 29 Mei tahun sama.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Jumaat ini.

-- BERNAMA