Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dipercayai masih sering bergerak bebas antara Macau dan Hong Kong, kata pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

BH Online melaporkan Abdul Hamid dipetik sebagai berkata, PDRM masih lagi berusaha mengesan Jho Low secara tidak rasmi.

“Tindakan itu dilakukan mengikut cara kepolisan dan berdasarkan maklumat perisikan, kita tahu kedudukannya.

“Selain itu, kita juga mendapatkan kerjasama pihak yang berkenaan untuk mengambil tindakan dan memenuhi tuntutan seperti yang digariskan dalam perjanjian Polis Antarabangsa (INTERPOL),” katanya selepas merasmikan Seminar Hentikan Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-Kanak serta Pelancaran Buku Pencegahan Jenayah, pada Khamis.

Jho Low yang dikehendaki kerana terbabit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dibatalkan pasportnya oleh kerajaan Malaysia pada 15 Jun tahun lalu sehingga menyukarkannya pergi ke negara lain.

Abdul Hamid juga berkata, PDRM berharap agar pihak negara berkenaan akur dengan perjanjian yang sudah ditetapkan sebelum ini.

“Kita minta pihak di Jho Low berada supaya akur dengan perjanjian bahawa kita saling bantu-membantu dalam mengesan, menjejak, menangkap dan mengusir penjenayah dalam sesebuah negara itu kembali ke negara asal,” katanya.

Hamid berkata, selain mengadakan pertemuan bersama pihak berkuasa China, PDRM masih aktif berhubung dengan Interpol dalam usaha memburu Jho Low.

Tindakan kerajaan membatalkan pasport Jho Low sebelum ini adalah mengikut peruntukan di bawah Akta Imigresen, untuk menghalang pergerakan Jho Low selepas beliau dikehendaki hadir ke Malaysia untuk disoal oleh pihak berkuasa.