SUHAKAM menyatakan kebimbangannya terhadap hukuman dera ke atas kanak-kanak di Malaysia terutamanya penggunaan rotan di sekolah dan di rumah juga undang-undang hukuman sebat bagi kes juvana.

Dalam kenyataan kepada media berkaitan kes penderaan kanak-kanak di Sweden yang melibatkan pasangan warganegara Malaysia, Shalwati Nor Shal dan Azizul Raheem Awaluddin, SUHAKAM berharap agar kerajaan mengkaji semula peruntukan undang-undang di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan Prosedur Jenayah yang membenarkan hukuman dera kanak-kanak.

Ia juga menggesa semua pihak yang berkepentingan untuk menerima pakai pendekatan yang lebih sensitif dalam mendisiplinkan kanak-kanak. SUHAKAM mencadangkan hukuman alternatif seperti khidmat masyarakat bagi kes juvana dipertimbangkan.

Shalwati, seorang guru pada cuti tanpa gaji yang ditahan kerana didakwa melanggar integriti keempat-empat anaknya di rumah mereka di Spanga, Sweden, telah didapati bersalah dan dihukum penjara selama 14 bulan oleh Mahkamah Daerah Solna pada Jumaat lepas.

Azizul Raheem Awaluddin telah dijatuhi hukuman penjara 10 bulan kerana mendera tiga anak-anaknya dan dia telah dibebaskan daripada apa-apa kesalahan terhadap anak bongsunya.

Kedua-dua Shalwati dan Azizul perlu membayar ganti rugi kepada anak-anak mereka. Pasangan ini belum bertemu dengan kempat-empat anak mereka sejak ditahan 18 Disember lalu.

Anak-anak mereka Aisyah, 14, Ammar 12, Adam 11 dan Arif 7, yang kini di bawah jagaan ibu saudara mereka di Kelantan telah dibawa pulang dari Sweden oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin, bulan lepas.

Sweden adalah negara pertama di dunia yang mengharamkan hukuman dera kanak-kanak pada tahun 1979 dan sejak itu telah diikuti oleh 36 negara-negara lain.