NEW JERSEY: Stadium MetLife kini bersedia sepenuhnya untuk menganjurkan siri perlawanan Piala Dunia yang akan bermula pada Sabtu, 13 Jun dan berakhir dengan perlawanan akhir pada 19 Julai.
Stadium itu akan menjadi tuan rumah kepada lapan perlawanan sepanjang kejohanan tersebut.
Perlawanan pertama yang berlangsung di venue berkenaan akan menemukan Brazil dan Maghribi dalam aksi Kumpulan C.
Memetik laporan Reuters, semasa lawatan media pada Rabu, para pegawai memperlihatkan stadium yang telah dinaik taraf dan dihiasi dengan pelbagai papan tanda serta elemen rasmi Piala Dunia.
Menurut Pengurus Venue Padang FIFA, Blair Christiansen, keadaan padang berada pada tahap terbaik menjelang perlawanan pembukaan itu.
"Padang berada dalam keadaan sangat baik dan kami tidak sabar menantikan perlawanan besar Brazil menentang Maghribi dalam tempoh tiga hari lagi," katanya.
Beliau turut memaklumkan seramai 10 kakitangan telah menjaga dan menyelenggara padang tersebut sepanjang bulan lalu bagi memastikan ia berada dalam keadaan optimum.
Stadium itu mampu menampung kira-kira 82,500 penonton, menjadikannya antara venue NFL terbesar di Amerika Syarikat.
Pihak penganjur turut memaklumkan kenderaan yang tidak mempunyai kebenaran tidak akan diberikan kemudahan parkir dan menggalakkan penyokong menggunakan pengangkutan awam.
Dalam masa sama, susulan kebimbangan mengenai harga tiket, kos pengangkutan dan akses ke stadium, termasuk pertindihan dengan siri Akhir NBA di New York City, pihak berkuasa memberi jaminan bahawa sistem pengangkutan awam telah bersedia sepenuhnya.
Presiden NJ Transit, Kris Kolluri berkata semua tenaga kerja yang diperlukan bagi operasi bas dan tren telah disediakan untuk memenuhi keperluan penyokong serta pengguna harian.
"Semua tren yang dijanjikan untuk kegunaan FIFA telah diselenggara dan sedia beroperasi," katanya ketika berucap di Newark.