Skip to main content

Sukan

Armada Viking kembali berlayar selepas 28 tahun, Norway bersedia gegar Piala Dunia 2026

Sumber: Instagram/herrelandslaget
Skuad kebangsaan Norway mencuri perhatian apabila menjalani satu sesi fotografi dramatik yang belum pernah disaksikan sebelum ini. - Foto Instagram/herrelandslaget

OSLO: Selepas penantian selama 28 tahun, Norway akhirnya kembali ke pentas Piala Dunia 2026 dengan membawa harapan besar serta skuad yang dibarisi gabungan pemain berpengalaman dan bintang muda berbakat.

Rekod negara Scandinavia itu di kejohanan paling berprestij dunia ini mungkin tidak begitu mengagumkan. Sebelum edisi 2026, Norway hanya layak sebanyak tiga kali, meraih dua kemenangan dan hanya sekali berjaya melepasi pusingan pertama apabila mara ke pusingan 16 terbaik pada 1998.

Namun kali ini, anak buah Stale Solbakken hadir dengan keyakinan tinggi selepas mengharungi kempen kelayakan yang cukup cemerlang.

 

Haaland Masih Senjata Utama

Sudah tentu nama terbesar dalam skuad Norway ialah Erling Haaland. Penyerang berusia 25 tahun itu terus mengukuhkan reputasinya sebagai antara penyerang terbaik dunia apabila meledak 55 gol dalam hanya 50 penampilan bersama skuad kebangsaan.

Dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026, Haaland muncul penjaring terbanyak Eropah dengan 16 gol daripada lapan perlawanan, termasuk lima gol ketika Norway membelasah Moldova 11-1.

Prestasi luar biasanya itu hadir selepas beliau turut merangkul Kasut Emas Liga Perdana Inggeris buat kali ketiga dalam tempoh empat musim bersama Manchester City.

 

Pilihan Serangan Yang Tidak Kurang Berbahaya

Walaupun Haaland menjadi tumpuan utama, Norway turut memiliki beberapa lagi penyerang yang mampu memberikan impak besar.

Alexander Sorloth terus mempamerkan ketajaman di La Liga bersama Atletico Madrid dan telah mengumpul 26 gol dalam 72 penampilan antarabangsa bersama Norway.

Jorgen Strand Larsen pula semakin menyerlah apabila menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-1 ke atas Sweden dalam aksi persahabatan baru-baru ini, sekali gus menawarkan lebih banyak pilihan di jentera serangan.

 

Odegaard Nadi Kreativiti

Di bahagian tengah, kapten Martin Odegaard menjadi arkitek utama permainan Norway. Bintang Arsenal itu mencatatkan tujuh bantuan gol sepanjang kempen kelayakan, jumlah tertinggi dalam kalangan pemain di Eropah.

Norway turut memiliki pemain serba boleh seperti Julian Ryerson yang menghasilkan 18 bantuan gol bersama Borussia Dortmund musim lalu, selain pemain sayap muda Antonio Nusa yang terkenal dengan kepantasan serta kemahiran menggelecek sehingga pernah digelar sebagai "Neymar Norway".

 

Kekuatan Skuad Yang Seimbang

Barisan Norway turut diperkuatkan dengan kehadiran Oscar Bobb, Sander Berge, Kristoffer Ajer, David Moller Wolfe dan Thelo Aasgaard, sekali gus menambah lagi kualiti di setiap posisi.

Selain itu, tiga tonggak Bodo/Glimt iaitu Fredrik Bjorkan, Patrick Berg dan Jens Petter Hauge turut membawa pengalaman beraksi di pentas Eropah selepas membantu kelab mereka melakar kempen yang mengagumkan musim lalu.

 

Berpotensi Jadi Pasukan Kejutan

Prestasi semasa jelas memihak kepada Norway. Mereka hanya tewas sekali dalam 16 perlawanan terakhir dan menamatkan kempen kelayakan dengan rekod sempurna lapan kemenangan daripada lapan perlawanan.

Lebih mengagumkan, Norway menjaringkan 37 gol sepanjang kempen tersebut dengan 21 daripadanya dihasilkan oleh pemain selain Haaland, sekali gus membuktikan kekuatan pasukan itu tidak hanya bergantung kepada seorang individu.

Berbekalkan momentum positif, keseimbangan skuad dan deretan pemain berkualiti, Armada Viking dilihat memiliki segala ramuan untuk muncul sebagai antara pasukan yang mampu mencipta kejutan dan melangkah jauh di pentas Piala Dunia 2026.

 

 

Must Watch Video

Advertisement