Ahli Parlimen Pulai (Umno-BN) Datuk Nur Jazlan Mohamed hari ini berpendapat bahawa Akta Hasutan harus dikekalkan namun ia perlu dilaksanakan dengan berhati-hati dan adil.

Bagaimanapun katanya adalah malang kerana terdapat pemimpin atasannya yang telah menggunakan akta tersebut lebih dari yang sepatutnya.

"Malangnya pemimpin tertinggi saya mempunyai kecenderungan untuk menggunakannya lebih dari yang sepatutnya.

"Akta Hasutan harus kekal... gunakannya dengan berhati-hati dan adil. Eric Paulsen boleh didakwa, kenapa tidak orang lain juga?

"Mungkin tidak Ismail Sabri, tetapi mungkin Ibrahim Ali," katanya pada sidang media selepas majlis ulangtahun ke-lima Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS) dan juga ulangtahun memperingati hari keputeraan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang ke-112 di Memorial Tunku Abdul Rahman.

Meskipun begitu, katanya akta itu perlu dikekalkan kerana menurutnya terlalu banyak perbezaan pendapat pada masa kini dari mereka yang mempunyai latar belakang berbeza.

Kata Nur Jazlan, keadaan sedemikian mencetuskan kekecohan sekiranya tiada undang-undang yang mengawalnya.

"Undang-udang itu patut dikekalkan kerana negara ini mempunyai persaingan dari pelbagai kaum dan agama, dimana percikan kecil sekalipun boleh menyemarakkan api yang besar," katanya.

Menyentuh tentang peranan Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN), katanya kini setelah kerajaan membuat keputusan mengekalkan Akta Hasutan, maka peranan majlis tersebut perlu disemak semula.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada November lalu mengumumkan akan terus mengekalkan Akta Hasutan 1948 ketika ucapannya sebagai Presiden Umno pada persidangan parti itu.

Najib berkata, bukan hanya akta tersebut dikekalkan malah dua peruntukan khas akan dimasukkan supaya ia lebih berkesan.