PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan kegiatan perkhidmatan pengangkutan warga asing dengan penahanan 53 penumpang warga asing serta tujuh pemandu, dalam operasi khas di sekitar Kajang dan Putrajaya pada 21 Sept.
JIM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pasukan operasi, telah memintas dan menahan tujuh buah van yang membawa sejumlah penumpang warga asing.
Menurut kenyataan itu, hasil pemeriksaan mendapati enam daripada van berkenaan dipandu warga asing yang terdiri daripada lima lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga Indonesia.
“Kesemua mereka didapati tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah. Pemeriksaan turut mendapati mereka tidak memiliki lesen memandu kompeten yang sah, manakala ada yang menggunakan lesen memandu percubaan.
“Siasatan awal mendapati sebahagian pemandu warga asing tersebut, mendakwa menerima bayaran antara RM1,600 hingga RM1,800 sebulan daripada pemilik van yang disyaki warganegara Malaysia bagi menjalankan perkhidmatan itu,” menurut kenyataan itu.
JIM dalam kenyataan itu memaklumkan bahawa seorang lelaki warga Malaysia yang merupakan pemandu dan pemilik sebuah daripada van itu, turut ditahan.
“Kesemua enam pemandu warga asing dan lelaki tempatan tersebut ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.
“Pemeriksaan lanjut terhadap penumpang pula membawa kepada penahanan 53 warga asing yang terdiri daripada 44 warga Indonesia iaitu 12 lelaki dan 32 wanita, lapan lelaki warga Bangladesh serta seorang lelaki warga Myanmar, kerana disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, siasatan awal turut mendapati warga asing berkenaan dipercayai menggunakan perkhidmatan van tersebut, untuk perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja di sekitar Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda, Kajang dan Putrajaya dengan bayaran kira-kira RM100 sebulan.
“Sebanyak tujuh buah van telah disita kerana disyaki digunakan dalam melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan sedang mengesan pemilik kenderaan lain yang terlibat bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut.
“Kesemua warga asing yang ditahan berusia antara 18 hingga 59 tahun dan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bagi tujuan siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” menurut kenyataan itu.
Operasi khas itu melibatkan 35 pegawai Bahagian Penguatkuasaan dan Pasukan Taktikal Khas (PASTAK), Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
-- BERNAMA