MALAYSIA
JIM bongkar taktik pilih GRO ikut nombor badan, bayaran cecah RM300 sejam

Jabatan Imigresen Malaysia membuat pemeriksaan terhadap 110 individu dan menahan 37 warga asing berusia 23 hingga 45 tahun termasuk 35 daripada yang dipercayai bekerja sebagai GRO.
BUTTERWORTH: Pakej eksklusif, pilih gadis pelayan pelanggan (GRO) ikut nombor badan antara taktik ditawarkan sebuah pusat hiburan di Jalan Bagan Luar, di sini.
Kegiatan itu berjaya dibongkar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu serbuan, awal pagi tadi.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM, Basri Othman berkata, pekerja terbabit dibayar antara RM250 hingga RM300 sejam dan wang itu dimasukkan dalam sampul surat bertanda nombor sama.
Basri berkata, pihaknya membuat serbuan pada jam 1 pagi itu namun berdepan kesukaran apabila pengurusan premis telah menghidu kehadiran pasukan operasi dan menutup semua laluan masuk, termasuk lif dan pintu tangga.Katanya, pihak JIM terpaksa memecah masuk beberapa pintu besi premis yang terletak di tingkat tujuh .
“Pihak kita membuat pemeriksaan terhadap 110 individu dan menahan 37 warga asing berusia 23 hingga 45 tahun termasuk 35 daripada yang dipercayai bekerja sebagai GRO.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 19 wanita Vietnam, Thailand (14) dua lelaki China, dan masing-masing seorang wanita China dan Laos,” katanya kepada media di lokasi serbuan.

Basri Othman
Menurut Basri, semasa pemeriksaan dilakukan di bilik karaoke, terdapat beberapa wanita bersembunyi di dalam bilik rahsia di sebalik belakang sofa, speaker serta di dalam tandas.
“Semakan mendapati kesemua tangkapan wanita ini memakai nombor badan dan dipercayai pelanggan akan memilih mereka berdasarkan nombor tersebut.
“Mereka juga dibayar antara RM250 hingga RM300 sejam dan wang itu dimasukkan dalam sampul surat bertanda nombor sama, dipercayai sebagai bayaran gaji perkhidmatan mereka," kata beliau lagi.
Basri berkata ,semakan mendapati, pusat hiburan itu dipercayai beroperasi sejak setahun lalu dan ia popular dalam kalangan pelanggan tempatan dan luar negara.
Katanya, kebanyakan mereka yang ditahan didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, selain beberapa individu yang dikesan tinggal lebih masa.
Kesemua tangkapan dibawa ke Pejabat Imigresen Seberang Jaya untuk siasatan lanjut sebelum ditempatkan di Depot Imigresen.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami