SEREMBAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan merampas 8,990 karton rokok putih dan kretek tidak sah bernilai RM144,032 dengan duti hampir RM1.2 juta dalam serbuan di ladang kelapa sawit Kampung Air Hitam, Klang, Selangor pada 22 Feb lepas.

Pengarahnya, Muhammad Hafiz Ishak berkata dalam operasi kira-kira 3 petang itu, pihaknya turut merampas sebuah lori kanvas tiga tan dan 14 kereta pelbagai jenis yang digunakan untuk sindiket terbabit dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM338,032.

"Pemeriksaan ke atas kenderaan yang ditinggalkan itu menemukan rokok jenama Saat dan kretek jenis Touro International dengan kesemuanya disyaki barang belum lulus Kastam dan Barangan Larangan Import Di Bawah Butiran 3, Bahagian II, Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

"Selain itu, kita turut menemukan beberapa jammer yang digunakan bertujuan menghalang telefon bimbit daripada menerima isyarat dalam 300 meter sehingga menganggu perhubungan antara pasukan JKDM ketika operasi," katanya pada sidang media di Pejabat JKDM negeri di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua barang eksibit termasuk 15 kenderaan yang mempunyai cukai jalan dan nombor plat itu disita mengikut Seksyen 114 Akta Kastam 1967 dan dibawa ke pejabat Bahagian Penguatkuasaan JKDM negeri untuk siasatan lanjut.

Muhammad Hafiz berkata rokok berkenaan tidak mempunyai label cukai yang sah dan diangkut menggunakan lori kanvas tertutup sebelum dibawa ke kawasan terpencil seperti ladang kelapa sawit untuk diagihkan dalam kenderaan persendirian, sebagai modus operandi.

Jelasnya, bekalan rokok berkenaan dipercayai diperoleh dari negara jiran dan akan diedarkan di kedai-kedai runcit sekitar Selangor dan Negeri Sembilan serta dijual dengan harga tiga kali ganda lebih murah daripada pasaran.

"Tiada individu ditahan kerana mereka terlebih dahulu meninggalkan kawasan itu, tapi kita percaya lebih 15 warga tempatan terlibat, kita sedang mengesan mereka. Aktiviti ini juga dipercayai dilakukan sejak dua ke tiga tahun lepas," katanya menambah operasi itu dilaksanakan selepas dua minggu risikan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74 (1) (a) Akta Eksais 1968.

Dalam pada itu, beliau berkata sepanjang tahun lepas, JKDM negeri berjaya merampas kira-kira 1.5 juta batang rokok pelbagai jenama bernilai RM177,000 membabitkan duti RM1.3 juta menerusi lebih 300 operasi di outlet dan premis sekitar Negeri Sembilan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang awam untuk membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan termasuk rokok, minuman keras, dan dadah selain menasihatkan masyarakat supaya tidak terjebak dengan aktiviti tersebut.

-- BERNAMA