KUALA LUMPUR:Jemaah Menteri bersetuju agar Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang akan bermula pada penghujung bulan ini akan melibatkan pemberian vaksin kepada bukan warganegara secara percuma.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dalam kenyataan memaklumkan, usaha itu akan melibatkan semua golongan bukan warganegara yang menetap di Malaysia.

Kata kenyataan JKJAV, usaha itu selari dengan dengan tema program berkenaan iaitu 'Lindung Diri, Lindung Semua' serta menerusi pendekatan 'tiada yang selamat, sehingga semua adalah selamat'.

Pemberian vaksin secara percuma kepada golongan berkenaan adalah selepas mengambil kira faktor-faktor berikut:

.


1- Persekitaran selamat serta bebas COVID-19 hanya boleh dicapai apabila seramai mungkin penduduk Malaysia diberikan vaksin.

2- Dalam tempoh pandemik, pemberian vaksin adalah langkah berperikemanusiaan.

3- Rekod jumlah pesakit yang ramai menerusi kluster yang wujud daripada pekerja asing (sektor perladangan, pembinaan dan pembuatan.

4- Kos rawatan dan kuarantin pesakit COVID-19 yang tinggi akibat daripada jangkitan kepada kluster pekerja asing.

5- Pekerja asing yang telah menjadi sebahagian daripada komuniti masyarakat dan turut menyumbang kepada ekonomi negara.

6- Layanan oleh sebahagian negara luar yang turut memberikan vaksin kepada warganegara Malaysia yang berada di negara tersebut.


.

Dalam pada itu, JKJAV berkata, keputusan itu juga akan memudahkan pemberian vaksin kepada bukan warganegara dan membantu menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.


.


"Walaupun begitu, keutamaan pemberian vaksin ini kepada warganegara terlebih dahulu. Maklumat dan jadual pemberian vaksin untuk warga negara asing akan diumumkan kelak.

"Keputusan pemberian secara percuma ini juga dibuat memandangkan akses bekalan vaksin yang diperolehi adalah mencukupi serta melebihi jumlah warganegara yang layak menerimanya.

"Ia juga selari dengan pendirian kerajaan untuk memberi vaksin kepada seramai mungkin populasi di Malaysia bagi membolehkan imuniti kelompok dapat dibentuk dalam usaha membendung pandemik COVID-19," katanya kenyataan itu lagi.