Skip to main content

Malaysia

JKM Terengganu terima peruntukan lebih RM11 juta hadapi banjir

Ismail berkata peruntukan itu bagi memastikan pengurusan bencana, penyediaan makanan dan keperluan asas serta pengoperasian PPS dapat dilaksanakan secara sistematik serta teratur. - Gambar fail
Ismail berkata peruntukan itu bagi memastikan pengurusan bencana, penyediaan makanan dan keperluan asas serta pengoperasian PPS dapat dilaksanakan secara sistematik serta teratur. - Gambar fail

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu menerima peruntukan lebih RM11 juta sebagai persediaan menghadapi bencana susulan musim Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Pengarah JKM Terengganu Ismail Kasan berkata ia merangkumi RM8.45 juta peruntukan daripada kerajaan negeri dan RM2.8 juta sumbangan kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata peruntukan itu bagi memastikan pengurusan bencana, penyediaan makanan dan keperluan asas serta pengoperasian pusat pemindahan (PPS) dapat dilaksanakan secara sistematik serta teratur.

"Penghantaran bekalan makanan dan keperluan lain ke Pulau Perhentian telah dimulakan pada 26 Okt lepas, manakala ke Pulau Redang dijadualkan pada 5 Nov ini.

"Penghantaran ke pulau dilaksanakan dengan kerjasama beberapa agensi lain bagi memastikan bekalan makanan dan keperluan asas tersedia di lokasi terbabit sebelum keadaan cuaca semakin buruk," katanya kepada Bernama hari ini.

Ismail berkata pada masa sama JKM Terengganu akan terus memantau tahap kecukupan bekalan di pangkalan hadapan dan mengenal pasti lokasi penyimpanan serta menyelaras tindakan dengan agensi berkaitan dalam memastikan keperluan penduduk dapat dipenuhi pada musim tengkujuh.

Beliau berkata terdapat 127 pangkalan hadapan, sembilan stor daerah dan 18 mini depoh atau kontena yang telah dilengkapi dengan stok bekalan makanan dan keperluan sekiranya berlaku masalah terputus hubungan di sesuatu kawasan ketika banjir di seluruh negeri.

"JKM mempunyai rangkaian penyimpanan bantuan bencana termasuk stor daerah, mini depoh, mini kontena dan pangkalan hadapan iaitu lima fasiliti di Kuala Terengganu, Kuala Nerus (tujuh) Marang (12), Dungun (26), Kemaman (14), Hulu Terengganu (42), Setiu (21) dan Besut (17).

"Pangkalan hadapan amat penting bagi memastikan bekalan makanan dan barangan keperluan asas tersedia berhampiran kawasan yang berisiko terputus hubungan ketika banjir," katanya.

Ismail berkata selain itu, 350 petugas JKM Terengganu akan digerakkan bagi menyokong pelaksanaan operasi pengurusan bencana mengikut keperluan dan arahan semasa.

"Kesiapsiagaan turut disokong oleh 11 pegawai kaunseling, 36 anggota pasukan sokongan psikologi dan 420 sukarelawan JKM," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement