BERLIN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun cedera parah di kepala selepas dipercayai diserang seekor serigala di dalam kandang haiwan berkenaan di sebuah taman hidupan liar di Jerman, lapor ABC.
Pihak berkuasa daerah Teltow-Fläming dalam satu kenyataan berkata insiden berlaku pada Rabu ketika sesi eksklusif program "Penjaga Zoo Sehari" untuk kanak-kanak di Taman Hidupan Liar Johannismühle yang terletak di selatan Berlin.
Menurut kenyataan itu, mangsa diterbangkan menggunakan helikopter penyelamat ke sebuah pusat trauma pakar di Marzahn untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Seorang penjaga zoo bertindak pantas mengawal keadaan sekali gus mengelakkan dua lagi kanak-kanak perempuan yang berada di dalam kandang serigala Artik itu daripada menjadi mangsa.
Serigala berkenaan dilaporkan sedang diberi air minuman oleh kakitangan taman hidupan liar ketika insiden berlaku.
Operasi taman hidupan liar itu kini dihentikan sementara bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan, dan dijadual dibuka semula kepada orang awam pada 2 Nov ini.
Insiden itu dipercayai serangan pertama seumpamanya membabitkan serigala dalam kurungan sejak spesies berkenaan kembali menghuni Jerman pada 1998.