Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan mesej tular berkaitan hebahan maklumat kes positif COVID-19 di Jalan Budiman, Kampung Melayu Majidee di sini.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Aman Rabu berkata mesej berangkai yang tular di aplikasi WhatsApp kononnya terdapat sembilan kes positif COVID-19 di Jalan Budiman itu adalah tidak benar.

"Untuk makluman, JKNJ ingin menafikan maklumat berkaitan dan masyarakat diminta untuk tidak menularkan sebarang berita yang tidak sahih agar tidak mencetuskan kebimbangan atau kekeliruan dalam kalangan masyarakat," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook JKNJ.

Terdahulu, tersebar satu rakaman suara menerusi aplikasi WhatsApp memberitahu kononnya terdapat sembilan kes positif COVID-19 di Jalan Budiman dengan tentera dan polis sudah mengawal jalan terbabit bagi tidak membenarkan pergerakan keluar masuk orang ramai. - BERNAMA