KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengarahkan dua premis tutup kerana tidak mencapai standard kebersihan yang ditetapkan hasil Operasi Bersepadu Premis Bersih yang dilaksanakan di sekitar daerah ini, pada Rabu.

Pengarah JKNK Datuk Dr Zaini Hussin berkata operasi bersepadu itu menyasarkan kedai makan dan restoran yang menjadi tumpuan orang ramai di beberapa lokasi iaitu sekitar bandar Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Jalan Pantai Cahaya Bulan, Jalan Bayam dan Jalan Kuala Krai.

"Dua premis tersebut diarahkan tutup maksimum 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983," katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Katanya sebanyak 50 premis makanan telah diperiksa membabitkan seramai 54 petugas JKNK.

Dr Zaini berkata menerusi operasi tersebut, JKNK turut mengeluarkan sebanyak 116 notis kompaun kepada pemilik premis dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan kerana melanggar Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Beliau berkata sebanyak 84 notis kompaun dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Peraturan 32(1)(b), iaitu kegagalan pengendali makanan tidak memakai apron, kasut, penutup kepala dan sebagainya semasa mengendali makanan.

"Dua notis dikeluarkan di bawah Peraturan 33(1)(a) dan 15 notis dikeluarkan di bawah Peraturan 33(1)(f) iaitu berhubungan dengan kebersihan diri pengendali makanan.

"Sebanyak 12 notis kompaun dikeluarkan bagi Peraturan 11(1)(b) dan satu notis bagi Peraturan 11(1)(c) berkaitan kewajipan tuan punya, pemunya atau penghuni premis makanan," katanya.

Dr Zaini berkata JKNK turut mengeluarkan sebanyak dua notis bagi Peraturan 34 yang berhubung dengan kewajipan untuk mengekalkan premis makanan dalam keadaan bersih.

Beliau berkata JKNK mengambil berat isu berkaitan keselamatan dan kualiti makanan di Kelantan.

"Pelbagai aktitiviti telah dijalankan bagi memastikan tahap kebersihan dan keselamatan makanan sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa," katanya.

-- BERNAMA