KUALA LUMPUR: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) terpaksa memberi keutamaan kepada pesakit COVID-19 yang mempunyai unjuran kadar kesembuhan tinggi (high prognosis) di unit rawatan rapi (ICU) hospital di negeri itu.

Malah tegas Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah, Dr Rose Nani Mudin, pihaknya juga penggunaan wad dan bilik bedah sebagai ICU sekali gus menyumbang kepada kadar penggunaan katil ICU tertinggi iaitu 126 peratus di Sabah.

Menurutnya, tiga hospital iaitu Hospital Queen  Elizabeth, Kota Kinabalu; Hospital Duchess of Kent, Sandakan dan Hospital Tawau menunjukkan peningkatan penggunaan katil ICU.

"Memang kadar penggunaan kita tinggi sebab kita buka bilik bedah dan beberapa wad untuk dijadikan ICU.

"Malah kita akan melihat kepada high prognosis sesuatu kes. Ada yang keupayaan untuk sembuh dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.

BACA: Penggunaan ICU di Sabah, Kedah, Perak melebihi kapasiti

Sebelum ini, data yang dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, menunjukkan sebanyak 90 peratus katil ICU digunakan di hospital COVID-19 di seluruh negara setakat Rabu, dengan kadar penggunaan tertinggi adalah di Sabah sehingga melebihi kapasiti, iaitu sebanyak 126 peratus.

Noor Hisham, penggunaan katil ICU di Kedah dan Perak juga melebihi kapasiti, iaitu masing-masing sebanyak 121 dan 107 peratus.

Selain itu, Dr Rose Nani menjelaskan, kapasiti katil dan alat bantuan pernafasan setakat ini masih mencukupi.

Ditanya sekiranya trend kes COVID-19 Kategori 3 hingga 5 semakin meningkat hingga terpaksu dimasukkan ke ICU, beliau menjelaskan ada pelan kontengensi seperti menggunakan khidmat hospital swasta berhampiran.

"Itulah apabila kes meningkat melibatkan pesakit Kategori 3 hingga 5 kita akan bekerjasama dengan hospital swasta," katanya.