KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak melihat sebarang percanggahan dasar dalam penggunaan dokumen pengenalan rasmi termasuk MyKad bagi tujuan pengesahan umur di bawah cadangan sekatan penggunaan media sosial individu berusia bawah 16 tahun.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata penggunaan pengesahan identiti menerusi MyKad sudah menjadi amalan biasa di Malaysia terutama melibatkan perkhidmatan e-dompet dan pelbagai platform digital lain.
"Dari segi polisi, MyKad sememangnya sudah digunakan untuk tujuan pengesahan identiti.
"Justeru, kita tidak melihat sebarang percanggahan dalam penggunaan dokumen rasmi bagi pengesahan umur kerana pendekatan ini sudah diguna pakai dalam sektor lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan selepas Mesyuarat Kabinet di sini, pada Rabu.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan berkata, aspek perlindungan data serta keserasian sistem akan dikawal selia di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi.
Dalam pada itu, beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan mengadakan taklimat khusus kepada media berhubung cadangan sekatan penggunaan media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun.
Beliau berkata, taklimat itu bagi membolehkan persoalan khusus termasuk aspek teknikal berhubung pelaksanaan cadangan tersebut dijawab dengan lebih terperinci.
Pada 31 Mac lalu, beliau berkata kerajaan bercadang melarang individu bawah usia 16 tahun daripada mewujudkan atau memiliki akaun media sosial selewat-lewatnya hujung bulan depan, malah langkah itu mungkin dilaksanakan lebih awal sekiranya tahap kesiapsiagaan mengizinkan.
Cadangan berkenaan dilihat selari dengan langkah beberapa negara lain yang mula mengetatkan peraturan penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Antaranya termasuk Australia yang melaksanakan larangan penggunaan media sosial bagi individu bawah 16 tahun susulan kebimbangan terhadap kesan platform berkenaan ke atas golongan muda.