Skip to main content

Malaysia

JKR lanjut operasi lampu jalan ketika jerebu - Ahmad Maslan

Ahmad berkata. JKR menerusi CKE akan melanjutkan tempoh operasi lampu jalan yang menggunakan pemasa sehingga dua jam ketika jerebu. - Gambar hiasan/ Bernama
Ahmad berkata. JKR menerusi CKE akan melanjutkan tempoh operasi lampu jalan yang menggunakan pemasa sehingga dua jam ketika jerebu. - Gambar hiasan/ Bernama

Advertisement

PONTIAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melanjutkan tempoh operasi lampu jalan milik jabatan itu sehingga dua jam ketika jerebu bagi membantu meningkatkan jarak penglihatan pengguna jalan raya.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, langkah menerusi Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE) itu, dibuat susulan keadaan jerebu yang menyebabkan jarak penglihatan terbatas dan berisiko mengundang kemalangan.

Beliau berkata, lampu jalan yang menggunakan sistem pemasa ketika ini, kebiasaannya beroperasi dari 7 malam hingga 7 pagi.

“Setiap lampu mempunyai penetap masa yang boleh diubah. Dalam keadaan jerebu, tempoh operasi boleh dilanjutkan sehingga dua jam.

“Kita juga akan merujuk kepada pihak berkuasa tempatan seperti majlis perbandaran dan dewan bandar raya supaya mengambil langkah sama,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga tiga adik beradik yang maut dalam kemalangan di Kampung Parit Haji Siraj, di sini, pada Sabtu.

Ahmad turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dan memastikan jarak penglihatan selamat ketika memandu dalam keadaan jerebu.

Khamis lepas, tiga adik beradik berusia lapan hingga 18 tahun maut, selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Jalan Parit Haji Siraj, Kayu Ara Pasong dalam keadaan cuaca berjerebu dan jarak penglihatan terhad.

Ketika kejadian kira-kira 7.20 pagi itu, abang mereka yang berusia 18 tahun membawa dua adiknya berusia 11 dan lapan tahun ke sekolah dengan motosikal, bagi menunjukkan bahawa sekolah ditutup pada hari berkenaan susulan kemerosotan kualiti udara.

Motosikal itu dalam perjalanan dari arah Jalan Parit Haji Omar menghala ke Kayu Ara Pasong sebelum dipercayai bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.

Dua adiknya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala abang mereka meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pontian.

Penutupan semua sekolah di Johor melibatkan lebih 1,000 sekolah dan kira-kira 600,000 pelajar.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement