KUALA LUMPUR: Jabatan Muzium Malaysia (JMM) memperkukuh sinergi bersama Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) bagi mempromosi dan memperkenalkan keunikan warisan Adat Perpatih ke seluruh negara menerusi penganjuran Perpatih Fest 2026.
Timbalan Ketua Pengarah (Permuziuman) JMM Mohd Razaimi Hamat berkata kerjasama strategik itu penting dalam memastikan identiti serta nilai kebudayaan negara terus dipelihara serta dihayati oleh generasi masa kini dan akan datang.
Beliau menyifatkan Perpatih Fest 2026 sebagai platform terbaik untuk mengetengahkan identiti Adat Perpatih kepada masyarakat luas, sekali gus menarik minat penyelidik, penggiat budaya serta pelancong dari dalam dan luar negara.
"Penganjuran prapelancaran itu turut menjadi medium promosi awal bagi membina kesedaran mengenai kepentingan memelihara warisan budaya, sekali gus menarik lebih ramai pengunjung menjelang festival sebenar yang akan berlangsung pada 27 hingga 29 Nov ini di Seri Menanti, Kuala Pilah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Prapelancaran Perpatih Fest 2026 di Dataran Muzium Negara hari ini, yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Negeri Sembilan Datuk Razali Abu Samah.
Mohd Razaimi berkata JMM sentiasa mengamalkan dasar keterbukaan dalam menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti bagi memperkasakan agenda pemeliharaan warisan negara.
Berkongsi mengenai perancangan agensi itu, beliau memaklumkan JMM bakal melaksanakan sebanyak 126 program sepanjang 2026 merangkumi pameran khas, program pendidikan muzium, bicara kurator serta aktiviti kebudayaan.
Sementara itu, Razali berkata Adat Perpatih berpotensi diperkasakan sebagai produk pelancongan budaya yang mampu menarik masyarakat luar Negeri Sembilan, termasuk pelancong asing untuk mengenali keunikan warisan berkenaan.
"Golongan muda perlu diberi penerangan mengenai Adat Perpatih supaya warisan itu bukan sahaja diketahui tetapi difahami dan dihayati," katanya.
Antara pengisian menarik festival itu kelak merangkumi pameran berkaitan luak-luak di Negeri Sembilan, demonstrasi makanan tradisional, bengkel kraf seperti destar dan ikatan samping, serta persembahan kesenian tradisional.
Penganjuran festival ini juga selaras dengan usaha memperkukuh kedudukan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelancongan budaya yang kompetitif di Malaysia.
-- BERNAMA