KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani telah dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetuai pasukan petugas khas menyelesaikan beberapa isu yang membabitkan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pelantikan Ahli Parlimen Titiwangsa itu dibuat susulan persetujuan Anwar berhubung kritikan Johari terhadap penyelesaian kerajaan dengan Goldman Sachs yang bernilai AS$2.5 bilion.

"Saya sendiri malu dengan keputusan terbabit. Amat sedikit ketika persefahaman itu dibuat. Goldman Sachs mengaut keuntungan daripada kerja keras kita," kata Anwar di Dewan Rakyat semalam seperti dilaporkan Bloomberg.

Pada tahun 2020, penyelesaian dengan bank pelaburan antarabangsa itu dicapai ketika pentadbiran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kerajaan pimpinan Muhyiddin mencapai penyelesaian dengan Goldman Sachs dengan bank pelaburan itu dan hanya membayar AS$2.5 bilion kepada kerajaan dan memberi jaminan pulangan aset 1MDB yang dirampas di seluruh dunia, bernilai AS$1.4 bilion.

Bulan lalu, Johari menggesa kerajaan menyiasat peranan pihak yang terbabit dalam penyelesaian dengan Goldman Sachs, menyifatkan itu sebagai tidak adil dan meragukan.

Ujar beliau, Goldman Sachs bertindak sebagai penasihat kewangan dan pengurus utama kepada tiga bon yang dikeluarkan 1MDB bernilai AS$6.5 bilion, sekali gus meraih AS$600 juta sebagai yuran komisyen.

Selain itu, sabitan dua bekas pekerja Goldman Sachs turut menjadi bukti penyelesaian itu meragukan kata Johari.

Dalam perkembangan sama, hari ini, mahkamah di New York menjatuhkan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng dengan hukuman penjara 10 tahun kerana terbabit dalam skandal 1MDB.

Sebelum ini, Roger Ng didapati bersalah membantu dalam skandal penyelewengan dana 1MDB.

Pada April lalu, juri di Mahkamah Persekutuan Brooklyn mendapati Roger Ng, bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia, bersalah kerana membantu bekas orang atasannya, Tim Leissner menggelapkan wang daripada dana itu, mencuci hasil dan merasuah pegawai kerajaan untuk mendapatkan perniagaan.

Untuk rekod, Leissner pernah menjadi ketua Goldman di Asia Tenggara dan mengaku bersalah serta memberi keterangan terhadap Roger Ng sebagai sebahagian daripada perjanjian kerjasama.