Kerajaan negeri Johor akan memperketatkan kawalan di semua pintu masuk negeri itu khususnya di tambak Johor, terutamanya sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) Dr Aman Rabu dalam kenyataannya berkata, pihak mereka memandang serius penularan wabak koronavirus yang disahkan telah menjangkiti seorang pesakit di Singapura semalam.

Pihaknya menjangkakan akan berlaku pertambahan warga Singapura menjelang perayaan Tahun Baharu Cina kali ini dan akan bersedia melakukan pemantauan dan ujian saringan yang ditetapkan.

Johor juga telah membuat saringan di pintu masuk Lapangan Terbang Sultan Ismail Kulai, Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar sejak Ahad lalu lagi.

BACA: Koronavirus: Tiada kes dilaporkan di JKN, Johor - KKM

Jelasnya setakat ini keadaan masih terkawal dan JKNJ akan meneruskan Prosider Operasi Standard (SOP) seperti biasa.

Semalam media melaporkan seorang pelancong warga China disahkan positif virus koronavirus ketika menginap di sebuah hotel di negara seberang tambak itu.

Menurut laporan Kementerian Kesihatan, seorang lelaki berusia 66 tahun dari Wuhan dilaporkan tiba di Singapura pada isnin lalu dan anak lelakinya berusia 37 tahun juga disyaki dijangkiti virus seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

Manakala, ahli kumpulan lawatan tersebut dikuarantin dan sedang dipantau.

BACA: Koronavirus: Lapan warga China dikuarantin di Johor Bahru

BACA: Koronavirus: Terlalu awal untuk isytihar kecemasan kesihatan global - WHO

Sementara itu, beliau berkata, sehingga hari ini, JKNJ masih belum menerima sebarang makluman berhubung jangkitan wabak berkenaan yang dilaporkan di mana-mana hospital kerajaan dalam negeri.

Namun, kerajaan negeri dalam keadaan berwaspada.