JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor mengumumkan penggantian hari kelepasan am bersempena Awal Ramadan, pada 26 Mac ini.

Cuti ganti itu diisytiharkan sekiranya hari pertama bagi bulan Ramadan jatuh pada 23 Mac, yang juga merupakan Hari Kelepasan Am bagi negeri itu bersempena Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Datuk Azmi Rohani, dalam satu kenyataan berkata, pengisytiharan cuti ganti itu selaras dengan Seksyen 3, Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369).

"Adalah dimaklumkan bahawa pada 23 Mac 2023 (Khamis) adalah merupakan Hari Kelepasan Am bagi negeri Johor sempena Hari Keputeraan Rasmi Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.
 
"Sekiranya Awal Ramadan yang juga merupakan Hari Kelepasan Am bagi Negeri Johor, jatuh pada tarikh yang sama, Kerajaan Negeri Johor telah bersetuju mengisytiharkan tarikh 26 Mac 2023 (Ahad) sebagai Hari Kelepasan Am," katanya.