ISKANDAR PUTERI: Johor mengumumkan hampir 85,000 penduduk negeri itu yang terjejas banjir baru-baru ini akan menerima lima inisiatif bantuan daripada kerajaan negeri dan Persekutuan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif itu termasuk pengecualian bayaran RM250 bagi penggantian dokumen penting seperti geran yang hilang dan rosak disebabkan banjir.

Katanya bantuan lain ialah pemberikan diskaun 40 peratus bagi pembayaran bil air bagi bulan Mac dan April oleh Syarikat Ranhill SAJ hasil persetujuan dan perbincangan bersama kerajaan negeri.

"(Selain itu) Bantuan Barangan Keperluan Asas (BBKA) berjumlah RM2,500 akan mula disalurkan secara berperingkat mulai awal April ini. Bantuan akan diberikan kepada setiap Ketua Isi Rumah (terjejas banjir) yang melibatkan peruntukan berjumlah RM60.3 juta.

"Pembayaran Bantuan Wang Ihsan Kerajaan Persekutuan dan Negeri akan selesai pada bulan Mac, kecuali daerah Batu Pahat dan Daerah Segamat yang dijangka selesai pada awal April kerana bilangan penerimanya jauh lebih ramai daripada daerah-daerah lain. Bantuan RM1,300 untuk setiap Ketua Isi Rumah ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM34.2 juta.

"Selain itu, moratorium pinjaman untuk mangsa banjir sehingga enam bulan telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Mac lalu melibatkan hampir semua bank," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Sesi Penggulungan Mesyuarat Keempat, Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Johor ke-15 di Iskandar Puteri, hari ini.

Banjir pada akhir Februari lalu di Johor menyebabkan hampir 85,000 mangsa terjejas di seluruh negeri dengan Segamat dan Batu Pahat mencatat bilangan mangsa tertinggi.

Banjir di Batu Pahat pulih sepenuhnya pada Ahad.