KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berkaitan penganjuran program 'Jom Ziarah Gereja' oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya akan memanggil Hannah dalam masa terdekat.

"Kita akan merakam keterangan Chegubard (Badrul Hisham Shaharin) pada hari ini bagi membantu siasatan," katanya pada sidang akhbar selepas sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216 di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada Isnin.

Eng Lai berkata, setakat ini, pihaknya telah menerima dua laporan polis berkaitan isu berkenaan

"Kita telah merakam keterangan tiga individu yang terdiri daripada pengadu dan dua wakil NGO bagi membantu siasatan," katanya.

Pada Ahad media melaporkan, Polis membuka satu kertas siasaran berhubung penganjuran program 'Jom Ziarah Gereja'.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim dilaporkan berkata, walaupun program itu telah dibatalkan pada Ahad, namun satu laporan polis telah diterima berhubung kes itu.

Pada 14 Mac lalu, Hannah ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat menjelaskan bahawa, program 'Jom Ziarah Gereja' tidak melibatkan individu beragama Islam. -Sinar Harian